MALAYSIA
Pengurus syarikat didenda RM30,000 subahat guna invois palsu mohon AP sisa plastik

Ch'ng Wilson, didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen hari ini, selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan adiknya menggunakan invois palsu sebagai dokumen sokongan untuk memohon lesen AP sisa plastik. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Seorang pengurus syarikat kitar semula didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan adiknya menggunakan invois palsu sebagai dokumen sokongan untuk memohon lesen permit import (AP) sisa plastik, tiga tahun lepas.
Hakim Azura Alwi yang menjatuhkan hukuman itu terhadap Ch'ng Wilson, 33, turut memerintahkan lelaki itu dipenjara tujuh bulan sekiranya gagal membayar denda.
Mengikut ketiga-tiga pertuduhan, bapa dua anak itu didakwa bersubahat dengan Ch'ng Wei Jie, 26, menggunakan tiga invois palsu sebagai dokumen sokongan bagi permohonan AP melalui sistem Dagang Net, di Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN), Putrajaya pada 7 Feb 2022.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 471 dan 465 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.Berdasarkan fakta kes, tertuduh telah membantu sebuah syarikat kitar semula milik rakannya untuk memohon AP dengan menggunakan invois palsu bagi membawa masuk empat kontena sisa plastik dari Kanada, sedangkan syarikat yang diuruskannya hanya mempunyai kelulusan untuk membawa sisa plastik dari Amerika Syarikat, Jepun, Hong Kong dan United Kingdom.
Tertuduh bersubahat dengan mengarahkan Wei Jie untuk memohon tiga AP dengan menggunakan tiga invois palsu bagi membawa masuk kontena berkenaan menggunakan pemunya dagangan yang didaftar atas nama seorang lagi adik tertuduh iaitu Ch'ng Huey Ning.
Terdahulu, Wilson yang tidak diwakili peguam merayu hukuman denda rendah dengan alasan itu kesalahan pertamanya selain berpendapatan hanya RM8,000 dan perlu menyara dua anak yang masih kecil.
Timbalan Pendakwa Raya Hazel Tan Jia Qi pula memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.
"Sekiranya mahkamah mengenakan hukuman denda, saya mohon denda berjumlah RM30,000 bagi kesemua pertuduhan dengan mengambil kira pengakuan salah tertuduh telah menjimatkan masa serta kos," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami