MALAYSIA
Pengurus tokong didenda RM20,000 terima wang deposit pelaburan haram

Tertuduh didakwa menerima wang berkenaan daripada seorang wanita berusia 44 tahun yang merupakan pemilik syarikat sabun tangan, tanpa lesen sah yang diberikan di bawah Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Seorang pengurus tokong didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima wang deposit RM70,589.79 bagi tujuan pelaburan haram, tahun lepas.
Ringkasan AI
- Seorang pengurus tokong, Sum Lai Yoong, didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen selepas mengaku bersalah menerima wang deposit bagi pelaburan haram tanpa lesen sah.
- Kesalahan dilakukan antara Januari dan Mac 2024, melibatkan skim pelaburan forex palsu yang menjanjikan pulangan tinggi, namun mangsa tidak menerima sebarang keuntungan.
- Mahkamah diberitahu bahawa Sum menerima lebih RM70,000 daripada mangsa, dan akademi kewangan yang diwakilinya tidak berdaftar dengan Bank Negara Malaysia.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah pusat beli-belah di Taman Mutiara Barat, Cheras dekat sini antara 12 Jan dan 6 Mac 2024 mengikut Seksyen 137 (1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak melebihi RM50 juta atau kedua-duanya.
Mengikut fakta kes, tertuduh telah memperkenalkan skim pelaburan forex kepada mangsa dan mendakwa dirinya mewakili sebuah akademi kewangan selain menjanjikan pulangan lapan hingga 16 peratus sebulan.
Mangsa kemudiannya telah mendaftar melalui laman web yang diberikan tertuduh dan membuat bayaran secara berperingkat sebanyak RM583,767.22 ke dalam 14 akaun bank dari 31 Okt 2023 hingga 29 Mac 2024, namun tiada keuntungan diterima.
Hasil siasatan mendapati suspek memberi maklumat pelaburan palsu dan akaun bank miliknya telah menerima RM70,589.79 daripada mangsa, selain akademi kewangan terbabit juga disahkan tidak mempunyai lesen Bank Negara Malaysia untuk mengutip deposit daripada orang awam.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya M. Saravanan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh, namun peguam Muizzudin Schanni Feizal Maurice Feizal yang mewakili tertuduh memohon denda rendah atas alasan anak guamnya telah insaf dan merupakan pesalah kali pertama.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami