KUALA LUMPUR: Pengurusan alam sekitar di Malaysia sentiasa berpecah-pecah kepada beberapa kementerian sejak beberapa dekad lalu, menyukarkan usaha memelihara dan memulihara alam sekitar secara holistik.

Bekas Menteri Tenaga Teknologi Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin berkata, mengasingkan isu pemuliharaan alam dan kawalan pencemaran menyebabkan agenda perubahan iklim kurang memberi kesan diharapkan. 

Begitupun, keputusan kerajaan menggabungkan sumber asli, kawalan pencemaran, perubahan iklim dan sektor air di bawah satu kementerian dijangka memudahkan urusan untuk merencana strategi terbaik bagi memelihara alam sekitar.

BACA: Nik Nazmi fokus isu banjir, tenaga, perubahan iklim dan alam sekitar

Jelasnya, semua isu yang digabung dalam Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim pastinya boleh mengelakkan kehilangan masa yang tidak perlu dihabiskan dalam penyelarasan antara kementerian.

“Ia akan menjadi lebih sempurna jika Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN), yang mana di bawah bidang kuasa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), boleh dipindahkan ke kementerian itu seperti diamalkan banyak negara lain,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Tambah Ahli Parlimen Puchong itu, meskipun semua agenda tersebut digabungkan di bawah satu kementerian, ia bukanlah terlalu besar dan sukar dikendalikan kerana banyak negara lain turut melakukan perkara sama.

Alam Sekitar | Kadar kitar semula kebangsaan

Beliau turut berkongsikan senarai negara tersebut dan daripada senarai itu, negara yang merangkumkan pelbagai agenda alam sekitar dalam satu kementerian antaranya ialah Jepun, Korea Selatan, United Kingdom, Singapura, New Zealand dan China.

Antara negara yang menggabungkan agenda alam sekitar dalam satu kementerian.

“Jika negara-negara ini boleh melakukannya, tidak ada alasan bahawa di Malaysia, kita memerlukan dua atau lebih kementerian untuk melakukannya.

“Beberapa negara ini mempunyai penduduk yang lebih besar daripada Malaysia.

“Secara keseluruhannya, kerajaan baharu di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membuat perubahan asas yang paling penting, iaitu perubahan struktur menteri, ke arah tadbir urus alam sekitar yang lebih holistik,” ujarnya.

Nik Nazmi Nik Ahmad kini merupakan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim selepas mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 3 Disember lepas.

PRU15 | Memastikan pengurusan bencana teratur

Menurut Nik Nazmi, beliau akan memberi fokus kepada isu banjir, guna tenaga, perubahan iklim dan penjagaan alam sekitar, kata Nik Nazmi Nik Ahmad.

Beliau berkata empat perkara utama itu adalah dalam portfolio terbaharunya sebagai menteri selain ia adalah isu yang menjadi tumpuan rakyat.