MALAYSIA
Pengurusan tempat letak kenderaan di Selangor secara konsesi bukan perkara baharu - Exco

Ng (kiri) bercakap pada sidang media mengenai pelaksanaan konsesi tempat letak kereta pintar di negeri Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. - Foto BERNAMA
SHAH ALAM: Pelaksanaan pengurusan tempat letak kereta secara konsesi bukan perkara baharu di Selangor malah telah diguna pakai sejak tahun 1996.
Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri Datuk Ng Suee Lim berkata sehingga Jun lepas sebanyak lima pihak berkuasa tempatan (PBT) masih melaksanakan sistem pengurusan tempat letak kereta menerusi khidmat konsesi.
Susulan itu, Ng berkata pelaksanaan pengurusan tempat letak kereta secara konsesi yang akan dikuatkuasakan 1 Ogos ini akan menambah baik sistem sedia ada.
"Kita nampak (kaedah) ini ada 'pro' dan 'kontra'. Dua-dua kaedah ada baik dan kekurangannya jadi kali ini kerajaan negeri memastikan situasi menang-menang dan kita ambil pendekatan menggunakan Smart Intelligent Parking(SIP), dengan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Selangor ada peranan dalam pengurusan parkir ini," katanyaBeliau berkata demikian pada sidang media berhubung pelaksanaan konsesi tempat letak kenderaan di Selangor di pejabatnya di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) pada Selasa.
Ng berkata kerajaan Selangor telah bersetuju secara dasar untuk melaksanakan pengurusan tempat letak kereta (TLK) melalui kaedah kerjasama antara MBI dengan syarikat swasta.
Beliau berkata antara kelebihan pelaksanaan itu termasuk penyelarasan dan pemusatan sistem parkir secara bersepadu di seluruh pihak berkuasa tempatan (PBT), yang akan mewujudkan satu sistem pengawalan parkir yang seragam, mesra pengguna dan menyokong agenda bandar pintar (Smart Selangor).
Menurutnya syarikat konsesi terlibat akan melabur RM200 juta dalam pembangunan infrastruktur TLK Pintar termasuk pemasangan kira-kira 1,800 unit kamera litar tertutup di kawasan parkir utama empat PBT pada fasa pertama.
"Pemasangan CCTV tambahan bukan sahaja untuk memantau tempat letak kereta dan mengesan pengguna yang gagal membuat bayaran, tetapi juga akan membantu pihak polis dalam aspek keselamatan bandar melalui perkongsian maklumat dan data secara langsung. Usaha ini dijangka dapat membantu mengurangkan kadar jenayah di kawasan bandar," katanya.
Beliau berkata PBT tidak menanggung sebarang kos operasi sebaliknya dijangka akan menerima kutipan lebih tinggi ekoran peningkatan kecekapan sistem, pendigitalan dan pemantauan berpusat.
"Kerajaan negeri menegaskan bahawa pelaksanaan ini sejajar dengan aspirasi pendigitalan perkhidmatan awam serta pembangunan bandar pintar serta mengekalkan hak kawal selia dan kuasa mutlak PBT dalam urus tadbir tempat letak kereta di kawasan masing-masing," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami