KUALA LUMPUR: Seorang pengusaha kantin didenda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah menggunakan dokumen palsu berhubung tuntutan insentif program Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana), dua tahun lepas.

Hakim Rozina Ayob menjatuhkan hukuman itu terhadap Amir Shariffuddin Haron, 56, selepas Pegawai Pendakwa Abd Muntaqim Abdul Aziz memaklumkan mahkamah bahawa pihaknya telah menerima representasi kedua yang dikemukakan tertuduh pada 30 Mei lepas.

"Setelah meneliti representasi kali kedua yang dikemukakan tertuduh, pihak pendakwaan ingin menawarkan pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan," kata Abd Muntaqim.

Pertuduhan pilihan kemudian dibacakan kepada tertuduh dan dia mengaku bersalah atas pertuduhan itu setelah menerima tawaran pengakuan daripada pihak pendakwaan mengikut Seksyen 172c Kanun Tatacara Jenayah.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara tiga bulan jika dia gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan itu, Amir Shariffuddin melalui seorang individu didakwa telah menggunakan dokumen Borang Pengesahan Pekerja Program Insentif Pengambilan Pekerja atas nama perusahaan As Hayana Services bertarikh 5 Mac 2021 sebagai tulen walaupun mempunyai sebab untuk mempercayai dokumen tersebut adalah palsu.

Kesalahan itu dilakukan di Wisma Perkeso, Jalan Tun Razak, di sini pada 5 Mac 2021 dan pertuduhan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali.

Mengikut fakta kes, Amir Shariffuddin yang merupakan pemilik syarikat As Hayana Services telah mengemukakan borang pengesahan pekerja bagi tuntutan insentif program Penjana yang mengandungi butiran matan palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan mengakui telah menerima RM45,900 daripada pertubuhan itu ke dalam akaunnya melalui enam transaksi berbeza.

Hasil siasatan mendapati kesemua sembilan nama pekerja As Hayana yang dikemukakan di dalam borang tersebut tidak layak untuk menerima bayaran insentif selama enam bulan kerana tidak mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh Perkeso.

Peguam Zulkifli Awang yang mewakili tertuduh memohon hukuman denda yang ringan atas alasan anak guamnya perlu menanggung ibu dan seorang anak yang masih belajar.

"Perniagaan anak guam saya juga tidak begitu memuaskan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) malah dia dibebani hutang.

"Dia juga telah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama pada masa akan datang," katanya yang turut dibantu seorang lagi peguam, Hasmah Nordin pada prosiding hari ini.

-- BERNAMA