KUALA LUMPUR: Seorang lelaki tempatan ditahan kerana disyaki menipu seorang wanita pengusaha kedai emas dalam urusan jual beli emas 916 secara bersemuka di sebuah hotel di Jalan Stesen Sentral di sini, awal pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Noor Dellhan Yahaya berkata mangsa berusia 41 tahun ditipu setelah menyerahkan wang tunai sebanyak RM560,000 kepada suspek dalam kejadian di Jalan Conway di ibu kota, semalam.

Beliau berkata setelah menerima wang itu, suspek memberitahu mangsa bahawa dia akan kembali semula dengan emas seberat 2.3 kilogram seperti yang dipersetujui.

"Bagaimanapun, selepas beberapa jam menunggu, mangsa yakin dia telah ditipu suspek berusia 30 tahun itu yang tidak muncul-muncul dan segera membuat laporan polis.

''Polis turut merampas antaranya sebuah kereta, wang tunai berjumlah RM250,750, sebuah telefon bimbit dan beberapa helai pakaian, lima keping kad ATM pelbagai bank serta sekeping kad akses rumah,'' katanya dalam kenyataan malam ini.

Noor Dellhan berkata suspek direman selama empat hari sehingga 24 Mei ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana tipu.

Beliau menasihatkan orang ramai agar berwaspada dalam urusan perniagaan dan membuat semakan latar belakang individu atau syarikat terlebih dahulu sebelum melakukan sebarang urusan jual beli.

-- BERNAMA