Pengusaha kedai di Ampang terpaksa menutup kedai disebabkan gangguan bekalan air berterusan.

Gangguan bekalan air yang berlaku sejak lebih dari dua minggu yang lepas rata-rata memberi kesan negatif kepada pengusaha kedai terutama yang menjual makanan.

Seorang pengusaha gerai makanan di Taman Shamelin, Osman Mustafa merayu supaya pihak Syabas menyelesaikan masalah ini secepat mungkin.

“Tangki air terdekat di kawasan ini yang disediakan oleh pihak Syabas adalah di kawasan perumahan Cheras Indah. Dengan satu tangki itulah kami terpaksa berkongsi dengan semua penduduk kawasan ini.

“Air dalam tangki itu juga sangat terhad memandangkan ramai orang mengambil air daripada tangki yang sama. Tambahan pula, pihak Syabas lambat mengisi semula air di dalam tangki itu sehingga pukul 2 pagi,” kata Osman.

Menurut beliau, mereka terpaksa mengambil air daripada tangki tersebut menggunakan botol air untuk kegunaan kedai serta untuk kegunaan di rumah.

Beliau menambah, pengusaha kedai di kawasan itu sering menghadapi masalah memuaskan hati pelanggan.

“Sesetengah pelanggan marah kepada kami disebabkan tiada air untuk mencuci tangan,” kata Osman.
Itu bukan sahaja masalah yang dihadapi pemilik kedai makan.

Disebabkan situasi ini, mereka mengalami kerugian beribu ringgit.

“Kami terpaksa menutup kedai pada hari-hari yang tiada bekalan air langsung. Sejak minggu lepas, pelanggan semakin berkurangan dan saya mengalami kerugian lebih RM3,500,” rungut Osman.

Tinjauan Astro Awani semalam menunjukkan kebanyakkan kedai di kawasan Taman Shamelin ditutup dan menurut Osman, kedai-kedai ini ditutup disebabkan gangguan bekalan air ini.

“Sebagai contoh kedai di sebelah saya, pemiliknya adalah sepasang suami isteri warga emas. Mereka terpaksa menutup kedai disebabkan tidak larat untuk mengangkat berbotol-botol air ke kedai daripada tangki air Syabas,” Osman menambah.

Selain memberi impak kepada kedai, situasi ini turut memberi kesan kepada penduduk kawasan perumahan.

“Bayangkan, kami mempunyai keluarga sendiri dan seperti saya, saya mempunyai enam tanggungan. Anak-anak perlu pergi ke sekolah setiap pagi. Jadi situasi ini menyukarkan kami untuk mandi, memasak dan sebagainya,” kata Osman.

Seorang lagi peniaga yang enggan dikenali berkata beliau mengalami kerugian yang banyak serta tidak mampu membayar gaji pekerja disebabkan gangguan bekalan air yang berlaku.

"Pekerja saya ramai yang lari disebabkan saya tidak dapat membayar gaji mereka. Gaji pekerja di kedai makan perlu dibayar setiap hari. Jadi, apabila kekurangan pelanggan, bagaimana saya mampu untuk membayar gaji pekerja?" kata beliau.