Pengusaha premis makanan di Sarawak yang masih ingkar dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan akan berdepan tindakan undang-undang.

Perkara ini ditegaskan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail ketika dihubungi Astro AWANI pada Rabu.

Namun katanya mereka terlebih dahulu akan dinasihatkan untuk mematuhi pelaksanaan itu kerana masih ada yang tidak faham sepenuhnya mengenai perintah berkenaan.

Untuk itu polis bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam menguatkuasakan perintah tersebut.

“Dalam melaksanakan penguatkuasaan ini, kita akan menasihati gerai-gerai yang masih menjalankan operasi supaya mematuhi perintah yang telah dikeluarkan selain memberi amaran kepada mereka.

“Sekiranya mereka masih berdegil kita tidak teragak-agak untuk membatalkan lesen perniagaan mereka,” tambahnya.

Sebelum ini menerusi Perintah Kawalan Pergerakan, kedai makan boleh beroperasi namun tidak boleh membenarkan orang ramai menjamu selera di premis.

Sebaliknya pelanggan boleh membawa pulang makanan dan menggunakan perkhidmatan penghantaran makanan.