KUCHING: Pengusaha Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) yang berdaftar diwajibkan mematuhi garis panduan dalam Program Advokasi Perkhidmatan Taska bagi memastikan keselamatan kanak-kanak sentiasa diutamakan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Datuk Seri Nancy Shukri berkata antara garis panduan itu adalah ibu bapa atau penjaga perlu memaklumkan ketidakhadiran atau kelewatan anak ke taska dalam tempoh 30 minit dari waktu sepatutnya dihantar.

"Ibu bapa dan pengusaha perlu mempunyai hubungan komunikasi yang baik untuk memastikan maklumat keberadaan kanak-kanak dapat disampaikan.

"Pemakluman keberadaan kanak-kanak kepada ibu bapa boleh dibuat sama ada melalui panggilan telefon atau pesanan ringkas, bertujuan mencegah ibu bapa daripada lupa dan sentiasa cakna tentang keberadaan kanak-kanak," katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Subsidi Yuran Pengasuhan Kanak-Kanak Taska dan Kempen Keselamatan Kanak-kanak Dalam Kenderaan di sini hari ini.

Nancy berkata selain itu, setiap kanak-kanak di taska perlu mempunyai log harian yang wajib dikemas kini oleh pihak taska setiap hari.

"Pengusaha hendaklah membuat pengesahan dengan membuat catatan dalam log harian dan pemantauan berterusan sekurang-kurangnya sekali setiap minggu terhadap taska di bawah kawalannya," katanya sambil menambah usaha itu adalah untuk mengelakkan kejadian ibu bapa meninggalkan anak-anak di dalam kereta sehingga meragut nyawa.

Beliau berkata berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari 2020 hingga Feb 2024, sebanyak 12 kes kematian kanak-kanak ditinggalkan dalam kenderaan telah direkodkan.

"Daripada jumlah tersebut, tiga kes berlaku pada 2020, dua kes pada 2021 dan lima kes pada 2023 dan dua kes pada tahun ini," katanya.

-- BERNAMA