MALAYSIA
Peniaga disyaki keldai akaun ditahan, mangsa rugi RM600,850

Polis menahan seorang peniaga, semalam, selepas dipercayai menjadi "keldai akaun" satu sindiket penipuan dalam talian jenis phone scam sehingga menyebabkan seorang mangsa kerugian RM600,850. - Foto hiasan
BUKIT MERTAJAM: Polis menahan seorang peniaga, semalam, selepas dipercayai menjadi "keldai akaun" satu sindiket penipuan dalam talian jenis phone scam sehingga menyebabkan seorang mangsa kerugian RM600,850.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail berkata lelaki berusia 38 tahun itu ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah menerusi Ops Mule NSRC di kawasan Bukit Mertajam.
Beliau berkata siasatan mendapati sindiket yang menggunakan modus operandi menyamar sebagai pegawai bank dan polis untuk memperdaya mangsa telah menggunakan akaun bank milik lelaki itu bagi transaksi kewangan daripada mangsa.
"Lelaki itu berkenalan dengan seorang individu melalui Facebook ketika membuat pinjaman wang dalam talian sebanyak RM500 dan hanya menerima RM400 sebelum diminta membuat bayaran semula RM100 setiap minggu."Seterusnya dia telah menyerahkan butiran akaun bank dan kad ATM miliknya kepada seorang lelaki tempatan melalui serahan tangan pada Ogos lepas dan dipercayai telah digunakan sindiket penipuan tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.
Azizee berkata lelaki itu direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan polis menasihati orang ramai agar tidak menyerahkan maklumat perbankan, kad ATM atau butiran akaun kepada pihak lain kerana ia berisiko dijadikan "keldai akaun" oleh sindiket penipuan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami