JASIN: Polis Melaka menahan seorang peniaga warung terkenal, di sini, selepas disyaki menjadikan enam kanak-kanak lelaki sebagai pemuas nafsu songsangnya dengan mencabul kehormatan mereka sejak September tahun lalu.

Lebih menjijikkan apabila lelaki berusia 57 tahun itu turut memberi habuan antara RM50 hingga RM100 terhadap semua mangsa yang berumur antara 12 hingga 13 tahun untuk melampias nafsunya.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata, tindakan suspek terbongkar selepas keenam-enam mangsa tampil membuat laporan semalam.

"Bertindak atas maklumat yang diterima, suspek kemudian berjaya di tahan di rumahnya di Simpang Bekoh, di sini kira-kira pukul 8.56 malam tadi.

“Siasatan awal mendapati, suspek akan memberi upah RM50 hingga RM100 kepada mangsa-mangsa yang masih bersekolah ini sebelum dia mencabul kehormatan kanak-kanak berkenaan," katanya.

Tambah Ahmad Jamil, Majistret Mohd Firdaus Salleh di Mahkamah Jasin, hari ini, membenarkan permohonan reman selama tujuh hari ke atas suspek sehingga 13 Februari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 14(a)/15A(1)/ 15B(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.