Seorang peniaga dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru di sini hari ini atas 19 tuduhan penipuan membabitkan jual beli kereta mewah, tahun lalu.

Tertuduh, Ernest Edwin De Silva Charles, 52 tahun, bagaimanapun tidak mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Azureen Sahira Saufee Afandi.

Tertuduh didakwa menyalahgunakan harta orang lain dan penipuan yang membabitkan empat individu dan sebuah syarikat dengan jumlah keseluruhan RM1.05 juta di antara Jun hingga Disember tahun lalu di sekitar Johor Bahru dan Seri Alam.

Dia didakwa melakukan 15 kesalahan mengikut seksyen 403 Kanun Keseksaan iaitu dengan curangnya menyalahguna harta orang lain dari syarikat kereta sewa dengan menjual kereta itu untuk kegunaannya sendiri.

Bagi kesalahan itu dia boleh diperuntukkan hukuman penjara tidak kurang enam bulan, tidak melebihi lima tahun, sebatan dan boleh dikenakan denda.

Dia turut didakwa atas empat kesalahan mengikut seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana memperdaya dan mendorong individu menyerahkan wang kepada dirinya untuk pembelian kereta dan telefon bimbit yang mana mangsa tidak akan menyerahkannya sekiranya tidak diperdaya sedemikian.

Kes dikendali Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Mohd Nasir manakala tertuduh diwakili peguam Arwa Abdul Rahman.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun dan tidak melebihi 10 tahun, sebatan dan boleh dikenakan denda.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 5 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes dengan memberi jaminan sebanyak RM43 ribu dengan seorang penjamin.