ALOR GAJAH: Seorang peniaga kedai runcit kerugian RM922,300.87 akibat diperdaya sindiket penipuan panggilan telefon atau 'phone scam' yang menyamar sebagai polis, bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Supt Arshad Abu berkata mangsa yang merupakan lelaki berusia 50-an itu menerima panggilan telefon daripada seorang suspek menyamar sebagai Sarjan Tan yang mendakwa merupakan anggota polis Perak pada awal Disembar tahun lepas.

"Suspek yang tinggal di Simpang Ampat mendakwa terdapat kes melibatkan pengurus sebuah bank yang telah berhenti kerja, telah melakukan aktiviti penipuan menggunakan akaun bank mangsa.

"Mangsa bagaimanapun menafikan terlibat dalam kes tersebut namun Sarjan Tan telah meminta lelaki terbabit mengikut arahannya sekiranya tidak mahu ditangkap," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata antara arahan suspek ialah mangsa diarah meninggalkan kad bank ATM dan nombor akaun bank miliknya tanpa perlu berjumpa dengan suspek di sebuah lokasi di Simpang Ampat di sini pada 20 Dis tahun lepas.

Katanya, pada 3 Jan lepas, mangsa telah diarahkan membuka cek bank atas nama sebuah syarikat suspek berjumlah RM420,000 dan memasukkan cek berkenaan ke dalam mesin cek sebuah bank di daerah itu.

Arshad berkata enam hari kemudian, ketika membuat semakan akaun bank mangsa di cawangan bank berhampiran, lelaki berkenaan mendapati terdapat beberapa transaksi pemindahan wang dari akaunnya ke akaun yang tidak dikenali berjumlah RM502,300.87 antara 21 Dis tahun lepas hingga 8 Jan tahun ini.

Beliau berkata pada 9 Jan lepas, mangsa sekali lagi menerima panggilan telefon memintanya membuat sekali lagi transaksi pemindahan wang namun tidak diturutinya kerana menyedari telah ditipu.

Katanya, mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Simpang Ampat semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

-- BERNAMA