MALAYSIA
Peniaga pasar malam dipenjara 30 bulan pecah masuk rumah bekas MB Kedah

Selain hukuman penjara, mahkamah turut memerintahkan tertuduh, T. Rakesh Kumar didenda RM1,500 dan penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan. - Gambar Astro AWANI
ALOR SETAR: Seorang peniaga pasar malam dihukum penjara 30 bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pecah rumah dan mencuri di kediaman milik bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah minggu lalu.
Tertuduh, T. Rakesh Kumar, 44, membuat pengakuan itu sebaik sahaja pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Shifa Mohd Hamzah.
Selain hukuman penjara, mahkamah turut memerintahkan tertuduh didenda RM1,500 dan penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, Rakesh Kumar yang menjual barang mainan didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira jam 2.50 pagi di sebuah rumah di Taman Rakyat, di sini pada 29 Mei lalu.Dia didakwa pecah rumah milik Ahmad Bashah dan mencuri satu unit mesin rumput.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan bagi kesalahan kali kedua atau berikutnya boleh dikenakan denda atau sebatan.
Dalam rayuannya, tertuduh yang diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Aina Shafina Idrus Saidi, memohon agar hukuman penjara terhadap anak guamnya diringankan dan dikira bermula dari tarikh tangkapan.
Beliau memberitahu mahkamah bahawa tertuduh mempunyai pendapatan tidak menentu dan menyara isteri, bapa yang menghidap strok, serta ibu yang mengidap penyakit kencing manis.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Sharmila Md Asri, memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan orang awam.
Menurutnya, tertuduh pernah mempunyai rekod jenayah lampau, justeru beliau turut mencadangkan supaya tertuduh dikenakan hukuman sebat.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman berkenaan dari tarikh tertuduh ditangkap.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami