ALOR SETAR: Seorang peniaga wanita tidak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini atas dua pertuduhan menerima deposit keseluruhan sebanyak RM110,500 tanpa lesen sah sejak Jun hingga Ogos lalu.

Tertuduh Norsyazwany A Rahim, 23, membuat pengakuan terbabit sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Juraidah Abbas.

Norsyazwany didakwa menerima deposit daripada Noorasmidar Kasim, 36, berjumlah RM107,000 tanpa satu lesen yang sah mengikut Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758).

Tertuduh dari Kampung Landak Hilir, Kupang, Baling yang merupakan ibu kepada dua orang anak telah menerima deposit itu di lokasi Nombor G 12, Taman Seri Kota, Kuala Kedah antara 15 Jun hingga 13 Ogos.

Manakala bagi pertuduhan kedua Norsyazwany didakwa menerima deposit daripada Nur Syaza Zuhairah Mat Zuki, 23, berjumlah RM3,500 di No 75, Taman Semarak, Jalan Bukit Jenun, Pendang pada 7 Julai.

Bagi kedua-dua kesalahan itu Norsyazwany didakwa mengikut Seksyen 137 (1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 137 (2) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda yang boleh sampai RM50 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Syifa Mohd Hamzah manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pihak pendakwaan tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh kerana tertuduh masih menjalani tempoh reman di Penjara Sungai Petani susulan gagal membayar jaminan bagi pendakwaan di Baling dan Sik pada awal September lalu.

Kes akan disebut semula pada 27 Oktober depan.