Penilaian menyeluruh pertama Sistem DEEP diketahui Januari depan - KSN

Shamsul Azri hadir pada Sesi Libat Urus di Moxy Putrajaya Hotel, hari ini. - Gambar Bernama
PUTRAJAYA: Buat julung-julung kalinya, penilaian menyeluruh Sistem Penilaian Prestasi Demerit (DEEP) akan diketahui pada Januari tahun depan, kata Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Ringkasan AI
- Penilaian Sistem Penilaian Prestasi Demerit (DEEP) akan diumumkan pada Januari tahun depan, menekankan keberkesanan pelaksanaan projek setahun sebagai ukuran utama.
- Sistem tersebut bertujuan meningkatkan mutu perkhidmatan kepada rakyat dengan memberi 100 mata dan memberi teguran serta tempoh untuk memperbaiki prestasi sebelum tindakan tegas.
- Ketua Setiausaha Negara menegaskan perlunya penjawat awam mendengar pandangan bawahan seperti pemandu e-panggilan dan pembantu pejabat untuk memahami realiti kehidupan rakyat.
"Ada juga yang bagus pada suku kedua tetapi mula goyah pada suku ketiga," katanya pada sesi libat urus KSN bersama pengarang media di sini hari ini.
Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Arul Rajoo Durar Raj.
Shamsul Azri berkata sistem itu bukan bertujuan menghukum ketua jabatan sebaliknya untuk mempertingkat mutu penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
"Kita beri 100 mata, kalau buat salah kita tolak, kalau buat baik kita remerit... ia ada nilai ambang," katanya.
Beliau berkata jika seseorang ketua jabatan gagal menunjukkan prestasi yang baik, teguran akan diberikan terlebih dahulu dengan tempoh tertentu untuk memperbaiki kelemahan.
"Tapi kalau masih tidak dapat melakukannya, saya terpaksa pindahkan mereka ke tempat lain supaya dapat jadi lebih baik di sana," katanya.
Pada 24 Jan lepas, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dilapor berkata ketua jabatan yang gagal dalam DEEP bakal berdepan tindakan tatatertib lebih tegas termasuk sekatan gaji tahunan, kenaikan pangkat dan dipindah ke jabatan lain.
Shamsul Azri turut mengingatkan penjawat awam supaya tidak beranggapan bahawa kerajaan sentiasa mengetahui segala perkara sebaliknya perlu mendengar pandangan dan suara daripada peringkat bawahan untuk menambah baik dasar serta perkhidmatan kepada rakyat.
Beliau berkata pandangan golongan pekerja seperti pemandu e-panggilan dan teksi serta pembantu pejabat juga penting kerana mereka berdepan realiti kehidupan yang berbeza daripada pegawai atasan.
Shamsul Azri juga meminta penjawat awam supaya sentiasa peka terhadap realiti hidup rakyat dan tidak terperangkap dalam zon selesa ketika membuat dasar atau melaksanakan tanggungjawab.
"Kita tak rasa sebab biasanya orang yang duduk rumah teres ni lebih selesa. Kita patut rasa denyut nadi rakyat," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


