KUALA LUMPUR: Program vaksinasi di Sabah dilihat berada pada landasan yang tepat walaupun masih di tangga terendah di seluruh negara.

Pelbagai usaha kini diperhebat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah terutama sekali Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dan ia terbukti dalam tempoh 10 hari terakhir Julai ini.

Jurucakap Kerajaan Sabah berkaitan COVID-19, Datuk Seri Masidi Manjun, bekalan vaksin yang dihantar ke Sabah dan diterima dalam tempoh 10 hari terakhir bulan Julai membuahkan hasil.

"Daripada 21 hingga 31 Julai 2021, kita berjaya memberi (administer) 374,214 dos vaksin. Pencapaian harian tertinggi ialah 48,300 dos pada 31 Julai.

"Kita (Sabah) amat berharap bekalan vaksin terus diterima mengikut jadual dan jumlah bagi bulan ini (Ogos)," katanya kepada Astro AWANI pada Isnin.



Berdasarkan data dikeluarkan JKNS, jumlah suntikan untuk 10 hari iaitu 21 hingga 31 Julai 2021 menunjukkan angka vaksinasi antara 27,994 hingga 43,800 dos suntikan.

Berbanding 18 hingga 20 Julai hanya sekitar 7,000 hingga 20,000 suntikan sahaja.

Lebih membanggakan apabila Sabah merekodkan suntikan vaksin yang tinggi pada 31 Julai lalu iaitu 43,800 suntikan.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah berkata, mengikut jadual pembekalan vaksin di Sabah, ia akan dihantar pada minggu ini dan sepanjang bulan Ogos secara berkala.

Katanya, bekalan berterusan akan memudahkan program imunisasi COVID-19 di Sabah sekali gus mampu mencapai 50 peratus penduduk menerima suntikan vaksin sehingga Oktober ini.

Selain itu, beliau memberitahu, JKNS mampu memberikan sehingga 59,000 dos suntikan sehari tetapi ia bergantung kepada jumlah bekalan vaksin yang ada di Sabah.

Setakat semalam, Sabah merekodkan empat digit kes positif iaitu 1,002 kes yang mana saringan kontak rapat penyumbang kepada jumlah tertinggi iaitu 591 kes.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin pada Mesyuarat Khas Parlimen minggu lalu turut membangkitkan mengenai kadar vaksinasi yang masih rendah di Sabah.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah mahu bekalan vaksin dipertingkatkan di negeri itu.

“Saya minta kerajaan pastikan bulan-bulan seterusnya bekalan vaksin itu jangan dihentikan, tapi tambahkan, sebab Sabah ini unik ada rakyat tempatan, ada pekerja asing, ada pendatang tanpa izin ada macam-macam,” katanya pada sesi perbahasan selepas penerangan program vaksinasi daripada Menteri Penyelaras PICK Khairy Jamaluddin.

Terdahulu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor memberitahu, kerajaan negeri menyasarkan 50 peratus penduduk di Sabah menerima suntikan vaksin sehingga Oktober ini, dalam usaha mencapai imuniti kelompok.