KUALA LUMPUR: Malaysia kini berdepan kes jangkitan COVID-19 kluster tempat kerja yang membimbangkan apabila merekodkan jumlah tertinggi selain kluster perayaan dan rentas negeri, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Dr Noor Hisham dalam kenyataan pada Khamis berkata sejak 1 April hingga 26 Mei, sebanyak 287 kluster tempat kerja dilaporkan melibatkan 17,087 kes dan daripada jumlah itu 233 kluster masih aktif direkodkan membabitkan 16,785 kes aktif.

"Tiga negeri yang direkodkan kluster tempat kerja tertinggi dalam tempoh ini ialah Selangor dengan 74 kluster (25.7 peratus), Johor 53 kluster (18.4 peratus) dan Pulau Pinang 31 kluster (10.8 peratus).

"Sektor pengilangan didapati penyumbang bilangan kluster tertinggi berbanding subkategori lain iaitu sebanyak 132 kluster (46 peratus) dalam tempoh sama dan ia diikuti sektor perkhidmatan yang merekodkan 57 kluster (20 peratus)," katanya.

Menurutnya walaupun kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKP 3.0 bermula pada 12 Mei, trend kluster di tempat kerja masih tidak menunjukkan penurunan yang ketara.

Katanya sebanyak 115 kluster tempat kerja dengan 5,392 kes dilaporkan antara 12 Mei sehingga 26 Mei dengan lebih separuh daripada jumlah tersebut melibatkan sektor pengilangan (62 kluster).

Oleh itu, katanya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyambut baik inisiatif Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) memperkenalkan prosedur operasi standard (SOP) baharu dikenali sebagai Safe@Work bagi mengimbangi kelangsungan operasi perkilangan dengan pengawalan wabak.

Pada masa sama KKM turut menasihatkan majikan supaya memastikan pematuhan SOP di tempat kerja seperti penyediaan tempat mencuci tangan atau 'hand sanitizer', pekerja mengenakan pelitup muka setiap masa dan mengelakkan pekerja berkumpul di ruang yang sempit.

Selain itu, mereka perlu memainkan peranan proaktif memastikan langkah pencegahan penularan COVID-19 diambil dan diikuti pekerja di tempat penginapan seperti memastikan katil atau tempat tidur disusun mengikut penjarakan sekurang-kurangya satu hingga dua meter selain mengelakkan pekerja makan beramai-ramai di ruang makan.

Majikan juga perlu memastikan kebersihan tempat penginapan termasuk tandas dan persekitaran sentiasa dijaga dengan kerap menjalankan sanitasi dan pembersihan.

Bagi pekerja pula, beliau mengingatkan supaya sentiasa mematuhi SOP ditetapkan semasa di tempat kerja untuk keselamatan diri seperti memakai pelitup muka, tidak bersembang dekat, menjaga kebersihan tempat makan dan memantau gejala, serta memaklumkan kepada majikan dengan segera sekiranya bergejala.

Dr Noor Hisham berkata kerjasama semua pihak amat diperlukan bagi memastikan tempat kerja dan penginapan pekerja berada dalam keadaan kondusif dan selamat untuk digunakan.

-- BERNAMA