Skip to main content

Malaysia

Peningkatan pemberian khas bukti komitmen Persekutuan perkasa hak Sabah - Armizan

KOTA BHARU, 5 April -- Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali ketika bercakap pada sidang media selepas sesi taklimat penguatkuasaan Ops Tiris 4.0 (bersepadu) dan Akta Kawalan Bekalan 1961 kepada Pemborong Barangan Kawalan dan Pengusaha Stesen Minyak Negeri Kelantan di sini hari ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Armizan berkata, GRS kekal dengan pendirian bahawa semakan pemberian khas di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan perlu dilaksanakan termasuk pewartaan semakan itu pada tahun ini. - Gambar fail/Bernama

KOTA KINABALU: Peningkatan kadar interim Pemberian Khas kepada Sabah daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion jelas membuktikan komitmen Kerajaan Persekutuan dalam memperkasa pelaksanaan hak negeri itu di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 31 Mei lepas adalah satu langkah yang amat penting ke arah memperkukuh kedudukan kewangan Negeri Di Bawah Bayu.

Beliau berkata, walaupun kes berkaitan tuntutan hak 40 peratus Sabah masih dalam proses perundangan, GRS kekal dengan pendirian bahawa semakan pemberian khas di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan perlu dilaksanakan termasuk pewartaan semakan itu pada tahun ini.

"Pendirian ini selaras dengan komitmen dizahirkan Perdana Menteri termasuk dalam ucapan beliau di Dewan Rakyat pada 13 Nov 2025 yang menjelaskan pengiktirafan Kerajaan MADANI terhadap hak 40 peratus pemberian khas sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

Terdahulu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu mengadakan pertemuan khas dengan sebahagian Ahli Parlimen Sabah bagi membincangkan status terkini pelaksanaan hak 40 peratus yang menjadi antara agenda serta tuntutan utama negeri berkenaan.

Armizan berkata, GRS akan terus memainkan peranan secara konstruktif dan tegas dalam memastikan setiap perkara yang melibatkan kepentingan serta hak rakyat Sabah diperjuangkan melalui saluran perundingan dan kerjasama berterusan dengan Kerajaan Persekutuan.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement