Penipuan dalam talian didalangi rakyat China tumpas, 24 individu ditahan

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Selasa lalu. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
SHAH ALAM: Polis menumpaskan dua sindiket penipuan cabutan bertuah dan forex dengan penahanan 24 warga China dalam dua operasi berasingan di Sunsuria City, di Sepang minggu lalu.
Ringkasan AI
- Polis Selangor menumpaskan sindiket penipuan dalam talian cabutan bertuah dan forex di Sunsuria City, Sepang.
- Serbuan menghasilkan penahanan 14 warga asing dalam kes cabutan bertuah dan 10 lagi dalam kes forex.
- Suspek menggunakan aplikasi palsu untuk menipu mangsa, dan rampasan keseluruhan bernilai RM60,000 termasuk peranti elektronik.
"Sindiket terbabit dipercayai menyasarkan rakyat China melalui aplikasi seperti Telegram, Tonghuasun, QQ (Jin Chan).
"Mangsa diperdaya menyerahkan sejumlah wang sebelum dijanjikan pulangan tinggi melalui cabutan bertuah atau pelaburan forex, yang sebenarnya tidak wujud," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Selasa lalu.
Menjelaskannya, Shazeli berkata, serbuan pertama pada kira-kira pukul 1 tengah hari melibatkan sindiket penipuan cabutan bertuah dalam talian dengan tangkapan 14 warga China termasuk empat wanita.
Sementara serbuan kedua dilakukan kira-kira pukul 5 petang pula membabitkan sindiket penipuan forex dalam talian dengan tangkapan 10 warga China termasuk tiga wanita.
"Berdasarkan siasatan awal, polis mendapati kedua-dua kes ini merupakan sindiket yang berlainan yang menyasarkan warga China sebagai mangsa," ujarnya.
Kesemua mereka katanya, ditahan selama tujuh hari bermula 27 November hingga Rabu, dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan.
Beliau memberitahu, hasil semakan rekod serta ujian air kencing mendapati mereka tiada rekod jenayah dan negatif dadah.
Dalam serbuan itu, polis turut merampas wang tunai berjumlah RM60,000, komputer riba, telefon bimbit serta penghala.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami



