AMPANG: Seorang penjaga kanak-kanak autisme warga Singapura yang yang sebelum ini tular mengasari seorang kanak-kanak lelaki di sebuah Pusat Intervensi Autisme, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang hari ini atas pertuduhan melakukan penganiayaan terhadap kanak-kanak itu.

Tertuduh Sharifah Mazlan, 51, membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan hakim Norhazani Hamzah.

Mengikut pertuduhan, ibu tiga anak itu didakwa sebagai penjaga kepada seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun itu telah melakukan penganiayaan terhadap kanak-kanak tersebut di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Bandar Baru Ampang pada pukul 10 pagi 1 Oktober lalu .

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Hakim Norhazani membenarkan tertuduh diikat jamin RM13,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan melapor diri di balai polis berdekatan pada 7 haribulan setiap bulan serta pasport diserahkan kepada mahkamah.

Tarikh 9 Disember ini ditetapkan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Sementara itu di Mahkamah Majistret pula tertuduh turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tinggal di Malaysia melebihi tempoh sah selama sembilan bulan.

Majistret Nur Maizan Rahim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan dua penjamin warga tempatan dan tarikh sama untuk sebutan semula kes.