KUALA LUMPUR: Seorang penjaga kedai dobi didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan memperdaya seorang kontraktor bagi mendapatkan projek penggantian saluran paip gas di Terengganu, empat tahun lepas.

Herisyam Abdul Wahid, 48, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Mengikut kesemua pertuduhan, Herisyam didakwa memperdayakan Mohd Hafidz Mohd Ismail, 41, untuk mempercayai dia boleh membantu mendapatkan projek 'Engineering, Procurement, Construction Commisioning (EPCC) for PGU-1 Pipeline Replacement in Terengganu Malaysia (Graphite)' dari Petronas Gas Berhad, sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang tunai keseluruhan berjumlah RM163,000.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di beberapa lokasi di Bandar Sri Permaisuri, Cheras, Jalan Bukit Bintang dan Putrajaya antara Mac sehingga Jun 2018.

Keempat-empat pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor, Mohd Aliff Shaharuzaman menawarkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah selain perlu melapor diri di pejabat SPRM berdekatan pada minggu pertama setiap bulan sehingga kes selesai.

Peguam Mohd Baharuddin Ahmad Kassim, yang mewakili tertuduh memohon supaya jaminan rendah diberikan dengan alasan anak guamnya menanggung enam anak serta seorang isteri yang tidak bekerja.

“Sebelum ini anak guam saya bekerja sebagai kontraktor secara kecil-kecilan dan kini dia menyara kehidupan dengan bekerja sebagai penjaga di sebuah kedai dobi dengan pendapatan kira-kira RM1,500 sebulan. Setakat ini, jumlah jaminan yang berjaya anak guam saya kumpul hanya RM12,000 dengan meminjam daripada adik-beradiknya dan rakan-rakan,” kata peguam itu.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan dia perlu melapor diri di pejabat SPRM, Shah Alam pada minggu pertama setiap bulan sehingga kes selesai serta mengarahkan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Bagaimanapun, Herisyam memaklumkan kepada mahkamah bahawa pasportnya telah tamat tempoh dan tidak dapat dikesan dan mahkamah kemudiannya mengarahkan tertuduh mengemukakan akuan bersumpah berhubung perkara berkenaan.

Rozina turut memerintahkan tertuduh disenarai hitam daripada ke luar negara sehingga kes selesai dan menetapkan 21 Feb depan untuk sebutan semula kes. - BERNAMA