KUALA LUMPUR: Semua pihak perlu menitikberatkan keperluan menanam pokok-pokok atau mewujudkan kawasan hijau di bandar sebagai tanggungjawab dan harapan bersama.

Penolong Pegawai Penyelidik Kanan (Cawangan Perhutanan Bandar) Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) Mohd Afendi Hussin berkata kerjasama ini penting dengan pihak dalam pelbagai disiplin termasuk perancangan bandar, kejuruteraan, arkitek, pemaju hartanah, arboris, pihak swasta, pemimpin masyarakat dan orang ramai.

Beliau berkata kehadiran pokok-pokok di kawasan bandar bukan sahaja dapat mencantikkan bandar, malah ia juga berperanan sebagai pokok ameniti atau kemudahan asas dan merupakan sebahagian daripada indeks untuk mencapai taraf kehidupan yang lebih sihat.

"Fungsi sebenar pokok-pokok di bandar tidak hanya berkisar sebagai elemen hiasan atau bersifat kosmetik semata-mata. Silara pokok yang melebar dan menaungi kawasan bandar mengurangkan kemasukan cahaya dan sinaran terik matahari.

"Keadaan ini membantu mengurangkan peningkatan suhu di bandar dan turut mengurangkan fenomena pembentukan pulau-pulau haba di kawasan bandar," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Selain itu, beliau berkata dengan adanya pokok-pokok rendang di taman-taman awam, ia dapat menarik pengunjung beriadah, berkelah dan menggalakkan interaksi selain membolehkan pelbagai aktiviti sihat dijalankan sekali gus membantu mengukuhkan nilai-nilai kemasyarakatan, kekeluargaan, persahabatan yang menyumbang kepada peningkatan kualiti hidup penduduk.

Bagaimanapun, Mohd Afendi yang juga ahli arboris berkata tidak semua pokok dapat tumbuh dengan sempurna atau mempunyai rupa bentuk struktur yang baik kerana sebahagian lagi mungkin memerlukan rawatan pembaikan.

Justeru katanya sekiranya berlaku keadaan atau rupa bentuk struktur pokok yang boleh mendatangkan gangguan ataupun risiko, pokok-pokok tersebut perlu diurus mengikut amalan arborikultur yang sesuai.

"Banyak faktor menyumbang kepada kegagalan pokok antaranya ruang penanaman yang terhad, pemangkasan akar tanpa mempertimbangkan kebolehan pokok untuk menampung berat silara dan mengganggu dirian pokok, ribut, kecederaan pada tubuh batang pokok, tanah yang padat, pemangkasan yang berlebihan dan tidak cermat.

"Ia adalah sebahagian daripada punca pokok menjadi lemah, menerima tekanan, terganggu kestabilan dan mempengaruhi kesuburannya," katanya.

Namun, beliau berkata sekiranya penanaman pokok dirancang dan dilaksanakan dengan baik, pokok-pokok tersebut berupaya untuk terus tumbuh tinggi dan menjadi lambang kelestarian persekitaran serta kehidupan sekali gus memberikan pelbagai fungsi bermakna untuk masyarakat.

Menurutnya, penjagaan pokok melalui amalan terbaik arborikultur boleh membantu menjadikannya lebih sihat, subur, selamat serta mengurangkan risiko kegagalan sekali gus membolehkan pokok-pokok itu hidup lebih lama di kawasan bandar.

Menjelas lanjut, Mohd Afendi berkata arboris berperanan memberikan perkhidmatan dalam semua aspek penjagaan pokok merangkumi pemilihan spesies, penanaman, pemangkasan, pengurusan risiko, pemindahan pokok, pencegahan kerosakan sebelum kerja-kerja pembangunan serta pengurusan kesuburan pokok, terutamanya di bandar.

"Peranan arboris kian mendapat perhatian di negara kita dan ini merupakan perkembangan yang positif kerana masyarakat kini memahami akan peri pentingnya menjaga alam sekitar termasuklah pokok," katanya.

-- BERNAMA