KUALA LUMPUR: Seorang pemilik syarikat melatih pekerja mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas satu pertuduhan mengemukakan dokumen palsu dan tiga pertuduhan menipu bagi menuntut insentif berjumlah RM174,200 di bawah Program Penjana Kerjaya.

Mohd Azlan Sinin, 45, didakwa sebagai pemilik syarikat Ingenious Vision memberi Borang Pengesahan Pekerja Program Insentif Pengambilan Pekerja atas nama syarikat itu kepada seorang ejen Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi menuntut insentif di bawah Program Penjana Kerjaya 2.0 berjumlah RM4,800.

Tertuduh memperdayakan Perkeso dengan mengemukakan dokumen yang mengandungi pernyataan palsu, iaitu tandatangan seorang wanita sedangkan wanita itu tidak pernah menandatangani apa-apa dokumen pengesahan pekerja di Pejabat Perkeso Wilayah Persekutuan di sini, pada 15 Mac 2021.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pecegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai butir matan palsu atau RM10,000, mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bapa dua anak itu juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pilihan pertama, iaitu menggunakan dokumen palsu dalam tuntutan insentif di bawah program sama, iaitu tandatangan seorang wanita di borang pengesahan program tersebut atas nama syarikat milik tertuduh, pada tarikh sama.

Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua hingga keempat, Mohd Azlan didakwa memperdayakan tiga pegawai perkhidmatan pekerja Perkeso dengan mendorong mereka untuk menyerahkan wang berjumlah RM169,400 dengan mempercayai bahawa 56 orang dalam senarai pekerja di Data Penjana Kerjaya 1.0 syarikat Ingenious Vision tidak lagi bekerja di syarikat milik tertuduh itu.

Kesemua kesalahan didakwa dilakukan di Maybank Cawangan Setapak, Jalan Genting Klang di sini, pada 28 Nov serta 8 dan 18 Dis 2020, mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan dan tertuduh berdepan hukuman penjara boleh sampai 15 tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Irna Julieza Maaras memohon jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di pejabat SPRM sebulan sekali sehingga kes selesai.

Peguam Dennis Micheal Pereira mewakili tertuduh memohon jaminan RM20,000 kerana anak guamnya perlu menanggung dua anak serta ibu bapanya selain telah memberikan kerjasama yang baik kepada SPRM sepanjang siasatan.

"Jumlah jaminan RM100,000 yang dipohon pihak pendakwaan adalah keterlaluan dan bersifat menindas. Anak guam saya boleh membayar jaminan RM20,000," katanya, dan menambah tidak membantah syarat tambahan yang dipohon pendakwaan.

Hakim Azura Alwi yang menetapkan sebutan kes pada 23 Nov ini, membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan yang dipohon pendakwaan.

-- BERNAMA