PUTRAJAYA: Sebanyak RM426 juta dana Program Insentif Pengambilan Pekerja (PenjanaKerjaya) yang cuba dituntut oleh majikan yang tidak bertanggungjawab berjaya diselamatkan, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia Mustapha Sakmud.

Beliau berkata jumlah itu diselamatkan hasil pelaksanaan operasi "Op Hire" yang dilaksanakan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) sejak Julai tahun lepas.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis penyerahan Geran Bantuan Perkeso Kepada Institusi dan Badan-badan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) 2023 di sini hari ini, beliau berkata beberapa siri tangkapan dan pendakwaan telah dibuat oleh SPRM bermula 9 Jan lepas ekoran Op Hire.

"Saya menerima maklum siasatan ini dibuat oleh SPRM dan Perkeso, dan atas usaha tersebut kita telah dapat mengenal pasti terdapat penyelewengan yang berlaku ada majikan-majikan yang membuat tuntutan palsu dan disebabkan itu kita dapat jimatkan RM426 juta," katanya.

Beliau berkata beberapa lagi pendakwaan akan terus dilakukan dan pihaknya juga akan terus membuat semakan untuk menjejaki mana-mana majikan lain yang telah membuat tuntutan program PenjanaKerjaya untuk tindakan susulan.

Mustapha berkata Perkeso juga telah membuat penambahbaikan ke atas parameter dan kriteria kelayakan bagi setiap program PenjanaKerjaya bagi memastikan hanya pihak yang benar-benar layak sahaja mendapat kelulusan.

"Tindakan analisis permohonan majikan juga dibuat sekiranya majikan memohon jumlah pekerja yang terlalu ramai bagi program PenjanaKerjaya mengikut parameter seperti permohonan tidak bertepatan dengan saiz industri, permohonan tidak seiring dengan keperluan industri, dan permohonan tidak sesuai dengan latar belakang syarikat," katanya.

Mustapha dalam masa yang sama berkata pemantauan juga dilakukan terhadap latihan di bawah program PenjanaKerjaya yang dipohon bersama penyedia latihan seperti latihan yang tidak bertepatan dengan skop pekerjaan dan latihan bercanggah dengan latar belakang syarikat.

Pada 21 Jan lepas, Pengarah Kanan Siasatan SPRM Datuk Seri Hishamuddin Hashim berkata seramai 74 individu ditahan dan 61 buah syarikat disiasat di bawah Ops Hire.

Hishamuddin berkata setakat 19 Jan lepas, seramai 27 individu telah didakwa di Mahkamah Khas Rasuah Kuala Lumpur, Selangor dan Melaka di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 melibatkan keseluruhan tuntutan palsu adalah RM4.92 juta.

Jumlah peruntukan yang disalurkan oleh kerajaan untuk program PenjanaKerjaya adalah RM3.5 bilion dalam tiga peringkat iaitu PenjanaKerjaya 1.0 (1 Jun 2020 hingga 20 Dis 2020), PenjanaKerjaya 2.0 (21 Dis 2020 hingga 30 Jun 2021) dan PenjanaKerjaya 3.0 (fasa pemulihan) iaitu dari 15 Jun 2021 hingga 31 Dis 2023.

-- BERNAMA