KAJANG: Beberapa penjara termasuk yang berusia lebih 100 tahun akan ditambah baik bagi menjadikan ia lebih kondusif buat pesalah dan kakitangan Jabatan Penjara.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata antara yang sudah dikenal pasti untuk tujuan itu ialah Penjara Alor Setar di Kedah, Penjara Pulau Pinang, Pusat Koreksional Kamunting di Perak dan Penjara Pengkalan Chepa di Kelantan.

"Usaha ini dibuat kerana kami sedaya upaya tidak mahu membina penjara baharu sebab mahu kurangkan kadar jenayah dan sabitan. Hasrat ini juga dibuat untuk mewujudkan penjara yang lebih manusiawi untuk didiami," katanya selepas mengadakan lawatan rasmi bersama Timbalannya Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah ke Ibu Pejabat Jabatan Penjara Malaysia di sini hari ini.

Beliau juga berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menambah bilangan petugas Jabatan Penjara yang memerlukan 1,300 pegawai dan anggota beruniform dan 180 kakitangan awam serta menyegerakan pengisian kekosongan perjawatan itu.

Katanya beliau sudah berbincang dengan Ketua Setiausaha KDN Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Pengarah Penjara Datuk Nordin Muhamad untuk menjadi pemudah cara proses pengambilan serta pelantikan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dan Jabatan Perkhidmatan Awam.

Pada masa sama, Saifuddin Nasution berkata KDN juga berhasrat mengubah persepsi masyarakat yang selama ini mengenali penjara sebagai pusat hukuman kepada pusat koreksional.

Beliau berkata usaha itu akan dilakukan menerusi Program Koreksional Komuniti seperti parol dan Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) selaras dengan Seksyen 43 Akta Penjara 1995.

"Kami menyasarkan program ini kepada 18,500 banduan yang sedang menjalani hukuman penjara kurang daripada tiga tahun, yang dianggap tidak melakukan kesalahan serius.

"Kalau tengok kepada statistik kejayaan Program Koreksional sebelum ini, ia ternyata membantu mengurangkan kes berulang iaitu satu daripada 800 kes banduan yang kembali ke penjara selepas dibebaskan," katanya.

Justeru, Saifuddin Nasution berkata perbincangan mengenai hasrat menjadikan Program Koreksional sebagai keutamaan Jabatan Penjara sudah dibuat termasuk kerjasama dengan 283 syarikat yang bersedia menerima kumpulan banduan itu bekerja.

-- BERNAMA