KOTA KINABALU: Seorang penjawat awam dihadapkan ke Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu di sini hari ini atas 16 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM45,000, pada tujuh dan enam tahun lalu.

Bagaimanapun tertuduh, Zulfikar Khomeini Asli, 44 tahun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Jason Juga.

Mengikut pertuduhan pertama hingga kelima, tertuduh yang bertugas sebagai Ketua Unit Penguatkuasaan Cukai Jualan Negeri, Bahagian Audit Dalam di Kementerian Kewangan Sabah menerima suapan RM20,000.

Kesemua suapan itu diterima daripada pengurus sebuah syarikat kilang sawit ke dalam akaun bank tertuduh yang mempunyai kepentingan pada 20 September 2016 dan gagal melaporkan pemberian tersebut kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Bagi pertuduhan keenam hingga ke-10, tertuduh didakwa menerima suapan RM10,000, juga menerusi transaksi ke akaun bank daripada seorang pengurus syarikat kilang sawit pada 2 Januari 2017.

Manakala bagi pertuduhan ke 11 hingga 16 pula, tertuduh yang kini bertugas sebagai pegawai di Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah menerima RM15,000 daripada pengurus syarikat kilang sawit pada 3 Januari dan 7 Januari 2017.

Kesemua pendakwaan itu dibuat mengikut Seksyen 25 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 25(1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau denda tidak melebihi RM100,000 atau dengan kedua-duanya sekali.

Tertuduh yang diwakili peguam Syed Anwar Shariff Abdullah memohon jumlah jaminan dikurangkan kepada RM10,000 daripada RM30,000 yang ditetapkan oleh pihak pendakwaan.

Bagaimanapun, mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM25,000 dan deposit RM10,000 dengan seorang penjamin tempatan selain tertuduh dikehendaki melapor diri setiap dua bulan sekali di Pejabat SPRM Sabah dan diarah menyerahkan passport antarabangsa kepada mahkamah.

Mahkamah turut memutuskan 15 Februari 2023 bagi pengurusan kes.