SHAH ALAM: Seorang penjawat awam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan menerima RM10,000 daripada seorang pemilik syarikat pada 2018.

Suhaila Md Zaini, 44, didakwa menerima wang itu daripada seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun menerusi akaun bank wanita itu tanpa balasan, namun ia mempunyai kaitan dengan tugas rasminya.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah bank di Taman Sri Gombak, Batu Caves, Gombak pada 13 Julai 2018.

Suhaila didakwa di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah kanun yang sama, dengan penjara tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Muaz Ahmad Khairuddin mencadangkan wang jaminan RM10,000 bersama seorang penjamin, dengan tertuduh perlu melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terdekat dan pasportnya diserah kepada mahkamah.

Peguam tertuduh, Gurmit Singh Hullon bagaimanapun meminta wang jaminan dikurangkan kerana anak guamnya dijangka didakwa atas pertuduhan lain dan turut memohon pelepasan bagi penyerahan pasport kerana Suhaila akan menunaikan umrah pada 1 hingga 15 Dis depan.

Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud kemudian membenarkan jaminan RM7,000 bersama seorang penjamin dan tertuduh diperintahkan melaporkan diri pada hari bekerja pertama setiap bulan di pejabat SPRM Selangor.

Sebutan semula kes ditetapkan pada Jumaat ini (17 Nov) bagi serahan dokumen dan pasport tertuduh.

-- BERNAMA