SEORANG penjenayah dikehendaki polis di Itali telah ditahan di Corfu selepas sebuah foto menunjukkan dia sedang memberi sorakan kepada pasukan bola sepak kegemarannya.

Vincenzo La Porta, 60, dipercayai mempunyai hubungan rapat dengan kumpulan kongsi gelap di Naples.

Dia berjaya melarikan diri dari pihak berkuasa selama 11 tahun namun awal tahun ini dia dikesan melalui sebuah foto bersama penyokong bola sepak lain di Greece.

Foto berkenaan diambil selepas pasukan Napoli memenangi kejohanan Itali pertamanya dalam tempoh 30 tahun awal tahun ini.

"Selepas kemenangan itu, La Porta tidak dapat menahan kegembiraanya lalu bersorak," kata polis.

Sebelum ini La Porta didakwa di Itali atas tuduhan bersuhabat dengan kumpulan jenayah, mengelak daripada membayar cukai dan penipuan.

Dia ditahan pada Jumaat lalu di Greece dan ketika ini sedang menunggu untuk dibawa pulang ke Itali dan bakal berdepan hukuman penjara selama 14 tahun dan empat bulan.