KUANTAN: Seorang penjual durian berputih mata selepas kerugian RM252,600 akibat terpedaya dengan tawaran kerja sambilan secara dalam talian, bulan lepas.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata lelaki berusia 46 tahun itu pada mulanya telah berkenalan dengan seorang wanita menerusi aplikasi WhatsApp dan ditawarkan pekerjaan sebagai pembantu pemasaran dalam talian.

Beliau berkata mangsa dijanjikan keuntungan sebanyak 10 peratus daripada setiap tugasan yang dilaksanakan menerusi sebuah aplikasi dan telah menggunakan wang simpanan, selain meminjam wang daripada saudara dan rakannya untuk menceburi pekerjaan itu.

"Mangsa telah membuat sebanyak 55 kali pindahan wang ke 12 akaun bank berlainan yang diberikan oleh suspek," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya lelaki itu yang kemudiannya menyedari dirinya terpedaya telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Sementara itu, Yahaya menasihatkan masyarakat supaya tidak mudah terpengaruh dengan tawaran pekerjaan menerusi laman media sosial yang menjanjikan pulangan lumayan.

Katanya orang ramai perlu mendapatkan maklumat terperinci terlebih dahulu seperti latar belakang syarikat dan diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun yang diterima menerusi pautan https://semakmule.rmp.gov.my/ sebelum membuat sebarang transaksi.

-- BERNAMA