Skip to main content

Malaysia

Penjual vape di Kelantan guna kata kunci khas, sasar pelanggan tetap

Kegiatan itu dikesan menerusi operasi bersepadu yang dijalankan PBT bersama agensi penguatkuasaan lain, termasuk AADK, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan dan polis. - Gambar hiasan
Kegiatan itu dikesan menerusi operasi bersepadu yang dijalankan PBT bersama agensi penguatkuasaan lain, termasuk AADK, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan dan polis. - Gambar hiasan

Advertisement

PASIR PUTEH: Penjualan peranti dan cecair vape di Kelantan dikesan dilakukan secara tersembunyi menggunakan kata kunci khas bagi urusan jual beli, selain berselindung di sebalik premis perniagaan seperti kedai telefon, kedai minyak wangi dan kedai runcit.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Hilmi Abdullah berkata kegiatan itu dikesan menerusi operasi bersepadu yang dijalankan pihak berkuasa tempatan (PBT) bersama agensi penguatkuasaan lain, termasuk Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan dan polis.

“Daripada operasi yang dijalankan, kita mengesan aktiviti penjualan peranti dan cecair vape yang kebanyakannya dilakukan golongan muda. Produk itu biasanya dijual kepada pelanggan tetap menggunakan kata kunci khas.

“Sebahagian besar kegiatan berkenaan berselindung di sebalik perniagaan seperti kedai telefon, kedai minyak wangi dan kedai runcit,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelupusan dan Pemusnahan Barang Sitaan Majlis Daerah Pasir Puteh bagi 2026, di Pasir Puteh, hari ini.

Hilmi berkata sebanyak 42,189 unit cecair vape pelbagai perisa dirampas PBT di seluruh Kelantan sepanjang tahun lalu.

Pada majlis itu, sebanyak 4,518 unit barangan rampasan, termasuk cecair perisa, peranti vape dan peralatan shisha, dilupuskan hasil sitaan menerusi 12 operasi bersepadu di sekitar Pasir Puteh.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement