KUALA LUMPUR: Strategi penjualan secara pakej yang ditawarkan peniaga bazar Ramadan dilihat menjadi faktor menyumbang kepada pembaziran sekali gus meningkatkan jumlah sisa buangan bahan makanan di Malaysia.

Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Datuk Rizalman Mokhtar berkata ia susulan pembeli terpaksa membeli makanan melebihi daripada apa yang perlu.

Beliau turut berharap para peniaga boleh bekerjasama dalam mencari solusi mengelakkan perkara itu daripada berlarutan.

“Tetapi saya juga nak menyeru kepada peniaga untuk memberi kerjasama dari segi bentuk kaedah jualan.

“Ini kerana kita dapat lihat kini peniaga menjualnya secara 'pakej'. Contohnya, sekarang kita hendak membeli dua jenis kuih sahaja namun terpaksa membeli sehingga empat kerana peniaga menjual empat sedangkan keperluan kita adalah dua.

“Kita tidak boleh memarahi peniaga boleh kerana itu strategi perniagaan beliau namun saya lihat ia mungkin boleh menyumbang kearah pembaziran," katanya ketika ditemui pada kempen ‘Hargai Makanan, Elak Pembaziran Bulan Ramadan’ di Bazar Tun Razak Cheras, pada Sabtu.

Turut hadir, Pegawai Eksekutif SWCORP, Ismail Mokhtar.  

Pada masa sama, Rizalman turut meminta peniaga bazar Ramadan mengurangkan penggunaan plastik, dan sebaliknya digalakkan menggunakan bahan-bahan yang lebih mesra alam untuk membungkus makanan.

Sementara itu, Rizalman berkata pihaknya turut menyasarkan untuk mengurangkan lagi peningkatan 20 peratus pembuangan sisa makanan sepanjang Ramadan tahun ini.

Katanya, untuk mengelakkan pembaziran pengguna perlu turut sama memainkan peranan mereka dengan merancang pembelian makanan dengan baik

"Kajian kami mendapati berlaku peningkatan antara 15 hingga 20 peratus pembuangan sisa makanan sepanjang tempoh perayaan termasuk Ramadan dan Hari Raya. Pada penghujung Ramadan, mari kita lihat bagaimana keadaannya. 

"Pengguna juga perlu merancang barangan yang hendak dibeli dan berpegang pada senarai itu apabila mengunjungi bazar meskipun mungkin terdorong untuk membeli lebih," katanya. 

Di samping itu, beliau berharap agar semua lapisan masyarakat terus membudayakan kempen tersebut bukan sahaja dalam tempoh perayaan, malah dalam kehidupan seharian agar dapat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang bersih, indah dan sejahtera.

Pada kempen tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp Ismail Mokhtar dan Pengarah SWCorp Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Ummi Kalthum Shuib mengedarkan plakat kempen berkenaan kepada 135 peniaga bazar disusuli pengedaran 800 bekas bubur lambuk.

Antara lain, mereka turut melawat dan menyantuni golongan B40 (keluarga dengan bilangan anak yang ramai dan pendapatan kurang daripada RM5,000), ibu tunggal, Orang Kurang Upaya (OKU) dan keluarga yang kematian ahli keluarga akibat COVID-19 serta menyerahkan bakul makanan.

Setiap hari, kira-kira 17,000 tan sisa makanan dihasilkan di seluruh negara.

Sebanyak 24 peratus, bersamaan 4,050 tan, adalah sisa makanan yang boleh dielakkan. Ini boleh digunakan semula untuk memberi kepada tiga juta orang, dengan tiga kali makan setiap hari.