KUALA LUMPUR : Kerajaan disaran untuk mengambil tindakan lebih tegas terhadap Amerika Syarikat, yang dilihat menyokong Israel, meskipun Malaysia perlu ada hubungan dagangan dengan negara itu.

Menurut bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ada cara lain untuk menunjukkan betapa Malaysia menolak sikap negara Uncle Sam itu terhadap pembunuhan rakyat Palestin.

“Saya gembira semua daripada kita - tidak kira bangsa, parti politik, NGO dan lain-lain semua kita bersatu dan mempunyai pendirian yang sama dalam kes ini.

“Kita semua menolak sifat dan sikap Israel dan  AS yang membunuh rakyat Palestin secara terang-terang dan cuba menghapus bangsa Palestin,” katanya dalam ucapan ketika menghadiri ‘Himpunan Ambang Tahun Baharu Bersama Palestin’ yang diadakan berhampiran Kedutaan Amerika Syarikat, dekat Jalan Tun Razak, ibu negara.



Jelasnya lagi, bangsa Palestin tidak boleh dihapuskan kerana anak-anak mereka akan membesar dan tidak akan melupakan kezaliman terhadap mereka.

“Saya yakin sampai bila-bila pun orang Israel tidak akan selamat kerana keganasan dan ketidakadilan terhadap Palestin.

“Jika Israel percaya membunuh orang Palestin mereka akan selamat, ini tidak akan terjadi.

“Akhirnya orang Israel akan terdedah kepada tindak balas oleh rakyat Palestin kerana orang Palestin dan keturunan mereka akan membalas dendam.



Dr. Mahathir sekali lagi dalam ucapannya percaya perpaduan rakyat Malaysia menolak tindakan Israel dan AS akan berterusan, walaupun dilihat berpecah dari segi parti politik, NGO dan lain-lain.

‘Himpunan Ambang Tahun Baharu Bersama Palestin’ dianjurkan bersempena piket 'Kepung Demi Palestin' yang diadakan selama enam hari berturut-turut di sekitar berhampiran Kedutaan Amerika Syarikat, dekat ibu negara.

Himpunan turut disertai lebih 60 badan bukan kerajaan (NGO), wakil parti politik, pertubuhan sosial dan wakil mahasiswa.