Kerajaan Selangor hari ini mendakwa kerajaan persekutuan cuba mengambil alih keseluruhan jajaran 26,000 kilometer aset paip air termasuk tanah walaupun bercanggah dengan perjanjian utama penstrukturan semula perkhidmatan air negeri itu.

Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali mendakwa tindakan kerajaan persekutuan itu menjadi punca pihaknya sebelum ini membatalkan rundingan penstrukturan yang ditandatangani bersama pada 12 September 2014 sebelum bersetuju untuk berunding semula pada 23 Mac lepas.

"...sedangkan dalam perjanjian utama kita sudah nyatakan senarai aset syarikat konsesi yang akan dipindah milik (kepada kerajaan persekutuan) bagi proses penstrukturan semula perkhidmatan air tetapi bukan tanah," katanya dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di Shah Alam, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ng Suee Lim (DAP-Sekinchan) yang ingin mengetahui status penstrukturan semula industri air negeri Selangor.

Azmin turut mendakwa kerajaan persekutuan cuba memutar belit kenyataan dengan menyalahkan kerajaan negeri yang tidak bersetuju dengan rundingan air itu sedangkan semasa perjanjian utama ditandatangani, kedua-dua pihak meneliti setiap perincian perjanjian yang disediakan.

Malah Azmin juga menyifatkan keengganan kerajaan persekutuan bersetuju dengan senarai pemindahan aset air mengikut semangat perjanjian utama menyebabkan proses memuktamadkan rundingan air terus tergendala.

Beliau sekali lagi mengulangi pendirian kerajaan negeri hanya akan memuktamadkan perjanjian utama penstrukturan industri air berkenaan sekiranya kerajaan persekutuan bersetuju dengan syarat utama itu.

Pada 25 Mac lepas, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili menegaskan pihaknya masih mengekalkan terma perjanjian utama tersebut selepas berbincang dengan kerajaan Selangor pada 23 Mac lepas.

Dr Maximus menyatakan status dua aset tanah di Bukit Nanas dan Semenyih yang terlibat dalam perjanjian utama itu akan ditentukan selepas perbincangan seterusnya antara kedua-dua belah pihak.

Semalam, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan supaya perjanjian penstrukturan semula industri perkhidmatan air di negeri ini dimuktamadkan segera mengikut perjanjian utama yang ditandatangani kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan pada 12 September 2014.