Langkah penjimatan kerajaan dalam bajet 2015 yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini tidak menjejaskan pelaksanaan kesemua projek di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan.

Menterinya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, penstrukturan bajet itu tidak melibatkan bajet pembangunan yang telah diperuntukkan kerajaan.

"Hanya peruntukan mengurus kementerian telah disekat sebanyak 18 peratus iaitu RM74.7 juta berbanding jumlah asal sebanyak RM427.3 juta," katanya dalam jawapan bertulis kepada pertanyaan Tan Seng Giaw (DAP-Kepong) yang meminta penjelasan mengenai pengurusan pentadbiran serta projek di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang terjejas akibat penstrukturan semula bajet 2015.

Pada Januari lepas, Najib yang juga Menteri Kewangan, mengumumkan beberapa langkah proaktif bagi memastikan pertumbuhan, pembangunan dan cita-cita defisit Malaysia kekal pada landasan yang betul sebagai tindak balas kepada perubahan landskap ekonomi global.

Antara pengumuman itu ialah perbelanjaan pembangunan untuk 2015 akan dikekalkan sepenuhnya tetapi perbelanjaan operasi dijangka dikurangkan sehingga RM5.5 bilion.

Tengku Adnan berkata bagi menyambut baik penstrukturan semula bajet 2015 itu, kementerian menjalankan beberapa strategi perbelanjaan secara berhemah dengan melaksanakan penjimatan dalam perbelanjaan, penjimatan perbelanjaan luar negara dan penjimatan penggunaan utiliti.