Skip to main content

Malaysia

Pensyarah UMT antara tiga di dunia terpilih Penyelidik Tamu di institusi diraja Arab Saudi

UMT, Arab Saudi
Pelantikan itu disifatkan sebagai pengiktirafan terhadap kepakaran Riswadi (kanan) dalam bidang manuskrip alam Melayu, khususnya penyelidikan berkaitan manuskrip al-Quran Diraja Terengganu. - Gambar/ UMT
Advertisement

KUALA NERUS: Pensyarah Jabatan Kenegaraan dan Ketamadunan, Pusat Pendidikan Asas dan Lanjutan (PPAL) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Prof Madya Riswadi Azmi mengharumkan nama universiti itu selepas dipilih sebagai Penyelidik Tamu di King Abdulaziz Foundation for Research and Archives (DARAH), di Riyadh, Arab Saudi.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMT yang menjalankan fungsi Naib Canselor Prof Suriyani Muhamad berkata pemilihan itu menjadikan Riswadi antara tiga penyelidik dari seluruh dunia dan merupakan penyelidik pertama dari Asia Tenggara dilantik menyertai program Penyelidik Tamu, yang julung kali diperkenalkan oleh institusi penyelidikan tersebut.

Beliau berkata pelantikan itu merupakan pengiktirafan terhadap kepakaran Riswadi dalam bidang manuskrip alam Melayu, khususnya penyelidikan berkaitan manuskrip al-Quran Diraja Terengganu, sekali gus mengangkat keupayaan penyelidikan Malaysia dalam bidang manuskrip al-Quran dan warisan tamadun Islam ke peringkat antarabangsa.

"Bagi kohort sulung program, hanya tiga penyelidik dipilih iaitu dari Malaysia, Jerman dan Australia. Sepanjang tempoh pelantikan, beliau akan menjalankan penyelidikan yang memfokus kepada analisis perbandingan manuskrip al-Quran dalam koleksi DARAH dengan tradisi penyalinan manuskrip al-Quran di Asia Tenggara, meliputi aspek seni iluminasi, khat, pembahagian ayat dan juzuk serta ciri-ciri kodikologi manuskrip.

"Hasil penyelidikan akan diterbitkan dalam jurnal antarabangsa, dibentangkan pada persidangan ilmiah, selain dimanfaatkan untuk memperkukuh pengajaran, penyelidikan dan usaha pemeliharaan warisan manuskrip Islam di Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini.

Suriyani berkata pengiktirafan itu bukan sahaja memperkukuhkan reputasi UMT sebagai universiti yang aktif memacu penyelidikan berimpak tinggi, malah membuka peluang memperluas kerjasama strategik dengan institusi penyelidikan bertaraf dunia, khususnya dalam bidang warisan Islam, manuskrip Melayu dan tamadun Islam.

Untuk rekod, DARAH merupakan institusi penyelidikan, arkib dan dokumentasi sejarah milik kerajaan Arab Saudi yang berperanan memelihara serta membangunkan khazanah sejarah, manuskrip dan warisan kebangsaan, selain menjadi antara pusat rujukan utama dunia bagi penyelidikan sejarah, manuskrip dan tamadun Islam.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement