KUALA LUMPUR: 74.1 peratus responden di Selangor menunjukkan persepsi positif terhadap pentadbiran Pakatan Harapan dengan 68.6 peratus berpuas hati terhadap pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengerusi Eksekutif Institut Darul Ehsan (IDE) Prof Datuk Mohammad Redzuan Othman memaklumkan, kajian juga memberi gambaran sebahagian besar pengundi di Selangor menyokong Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos ini.

Dalam pada itu ujarnya, 19.9 peratus responden mempunyai persepsi negatif terhadap Pakatan Harapan kerana dilihat gagal memerintah dengan baik selepas PRU-14, tidak membela nasib orang Melayu dan Islam serta lain-lain.

Jelasnya, 77 peratus pula bersetuju sekiranya Kerajaan Perpaduan diberi peluang untuk mentadbir negara, 11 peratus tidak bersetuju manakala 2 peratus lagi tidak pasti.

Ini kerana, 39.9 peratus bersetuju kepimpinan Anwar mampu membawa pembangunan kepada negara, 17.6 peratus bersetuju Kerajaan mewakili semua kaum di Malaysia, 10.3 gabungan parti mampu menjamin kestabilan negara, 13 peratus menjunjung titah Yang Dipertuan Agong supaya membentuk Kerajaan Perpaduan manakala 16.9 peratus bosan dengan isu pertukaran Kerajaan.

Sementara itu, kajian turun mendapati 47.4 peratus pengundi Selangor mempunyai persepsi negatif terhadap Perikatan Nasional manakala hanya 41.1 peratus yakin dengan kemampuan gabungan itu.

Sebanyak 22.1 peratus responden pula berpendapat Perikatan Nasional dianggotai parti memperjuangankan nasib orang Melayu dan Islam, 11.6 peratus gabungan parti diterajui golongan ulama dan 7.4 peratus berpendapat PN dianggotai pemimpin bebas rasuah serta salah guna kuasa.

Berdasarkan kajian, 50 peratus responden berpendapat Perikatan Nasional tidak seharusnya diberi peluang untuk memerintah Selangor, 25 peratus tidak pasti manakala 25 peratus lagi bersetuju agar diberi peluang.

Alasan terbesar yang diberikan responden kerana kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yasin dilihat lemah ketika bergelar perdana menteri kelapan, parti didominasi oleh pengkhianat, pendekatan politik menjejaskan keharmonian kaum, pentadbiran perlu daripada parti yang sama dan lain-lain.

Tinjuan di 54 Dewan Undangan Negeri (DUN) dari 12 hingga 15 Mei lalu itu membabitkan 1,693 responden dan dilaksanakan mengikut pelbagai segmen pengundi di 54 DUN  di Selangor.