SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan menyeru pengusaha atau penternak untuk mengusahakan ladang haiwan ternakan dan ruminan di 289 hektar padang ragut yang masih belum diusahakan di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Sembilan Datuk Bakri Sawir berkata selain dijadikan ladang pengeluaran ruminan, padang ragut itu juga boleh ditanam dengan rumput napier sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap palet makanan haiwan.

Beliau berkata usaha itu juga berupaya meningkatkan saiz pengeluaran haiwan ternakan dan bekalan daging bagi menampung keperluan rakyat sekali gus mengekalkan harga bekalan makanan itu.

"Negeri Sembilan mampu mengeluarkan sebanyak 30 peratus bekalan daging termasuk lembu dan kambing.

"Jumlah ini akan dipertingkatkan namun buat masa ini kita ingin optimumkan penggunaan rizab padang ragut yang belum diusahakan ini," katanya kepada pemberita selepas melawat Rumah Sembelihan Ruminan Besar Sumobek Sdn Bhd di sini hari ini.

Justeru, katanya dalam usaha menarik minat pengusaha dan penternak, pihaknya telah menurunkan harga pajakan tanah paling minimum iaitu RM1,500 setahun berbanding RM4,000 hingga RM5,000 pada nilai semasa dan telah dipersetujui pengusaha.

Dalam pada itu, Bakri berkata jumlah keseluruhan padang ragut di seluruh negeri yang dirizabkan di bawah kawalan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan (JPVNS) adalah sebanyak 1,259 hektar melibatkan 33 lokasi termasuk ladang-ladang satelit.

Beliau berkata setakat ini kira-kira 2,145 pengusaha ruminan bagi semua kategori telah berdaftar di negeri ini dengan 88 individu mengusahakan tanah rezab di bawah kawalan JPVNS.

-- BERNAMA