KUALA LUMPUR: Penubuhan Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) di bawah Rang Undang-undang Keselamatan Siber 2024 adalah perlu walaupun ia telah ditubuhkan di bawah Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) 26: Pengurusan Keselamatan Negara.

Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata hal ini kerana rang undang-undang berkenaan ialah rang undang-undang khusus bagi menangani isu keselamatan siber.

Menurutnya, Arahan MKN 26 juga akan disemak semula untuk tujuan penyelarasan apabila rang undang-undang itu dikuat kuasa kelak.

"Bagaimanapun, apa-apa ketetapan yang dibuat oleh JKSN di bawah Arahan MKN 26 berhubung dengan langkah-langkah, standard dan proses berhubung dengan keselamatan siber infrastruktur maklumat kritikal negara akan terus terpakai selagi mana ia tidak bertentangan dengan rang undang-undang ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-undang Keselamatan Siber 2024 untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat hari ini.

Gobind berkata kerajaan telah menjalankan kajian dan mengenal pasti perundangan sedia ada yang relevan seperti Akta Majlis Keselamatan Negara 2016 (Akta 776), Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), Akta Jenayah Komputer 1997 (Akta 563), dan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709) bagi memastikan tiada kelompangan, percanggahan atau pertindihan dengan rang undang-undang berkenaan.

Selain itu, beliau berkata Rang Undang-undang Keselamatan Siber 2024 dapat membantu kerajaan memastikan kebolehlaksanaan dan kecekapan fungsi infrastruktur maklumat kritikal negara dalam menangani insiden keselamatan siber.

Hal ini, katanya dapat memastikan tahap keselamatan negara tidak dikompromi selain menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih kukuh dan mampan terutamanya dengan menyediakan persekitaran kondusif yang boleh memupuk keyakinan serta menarik pelabur asing untuk melabur dalam ekonomi digital negara.

"Oleh itu, mekanisme kawalan yang diperuntukkan dalam rang undang-undang ini perlu dilaksanakan dengan seberapa segera kerana ancaman siber boleh berlaku pada bila-bila masa dan tanpa dijangka.

"Kerajaan berharap agar rang undang-undang ini akan mendapat sokongan dwipartian daripada semua Ahli Dewan ini tanpa mengira parti dengan meletakkan keselamatan negara sebagai pertimbangan utama," katanya.

-- BERNAMA