Skip to main content

Malaysia

Penubuhan SEGiM perkukuh tadbir urus ekonomi gig - KESUMA

đź’Ą[KENYATAAN MEDIA] PENUBUHAN SEGIM PERKUKUH EKOSISTEM EKONOMI GIG  MENJELANG PENGUATKUASAAN AKTA PEKERJA GIG 2025 [AKTA 872] Putrajaya | 8 Mac 2026 | Ahad. FB Kementerian Sumber Manusia
KESUMA memaklumkan, pada peringkat awal skop SEGiM akan memberi tumpuan kepada pekerja gig yang beroperasi melalui platform digital. - Gambar Facebook KESUMA

KUALA LUMPUR: Penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) dijangka memperkukuh tadbir urus ekosistem ekonomi gig negara selaras dengan penguatkuasaan Akta Pekerja Gig 2025 [Akta 872] yang dijadualkan berkuat kuasa sepenuhnya pada 31 Mac ini.

Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dalam kenyataan pada Ahad memaklumkan, pada peringkat awal skop SEGiM akan memberi tumpuan kepada pekerja gig yang beroperasi melalui platform digital.

Advertisement

Bagaimanapun, perlindungan yang diperkenalkan menerusi Akta 872 adalah lebih menyeluruh kerana merangkumi pekerja gig berplatform serta pekerja gig bukan platform.

“Akta ini diperkenalkan bagi menyediakan kerangka perundangan yang lebih jelas untuk melindungi kebajikan pekerja gig di samping memastikan pembangunan sektor ekonomi gig berkembang secara mampan, tersusun dan adil,” menurut kenyataan itu.

KESUMA memaklumkan, melalui akta berkenaan, beberapa mekanisme utama akan diperkenalkan bagi memperkukuh perlindungan pekerja gig termasuk aspek ketelusan kontrak, mekanisme penyelesaian pertikaian serta pengukuhan perlindungan keselamatan sosial.

Kementerian kini berada pada fasa akhir persediaan menjelang penguatkuasaan Akta 872, termasuk penubuhan Majlis Perundingan Gig sebagai platform tripartit yang menghimpunkan wakil kerajaan, wakil pekerja gig serta wakil entiti kontrak.

“Majlis ini berperanan menasihati dan mengemukakan syor kepada kerajaan berkaitan kadar pendapatan minimum, formula serta standard minimum yang akan diguna pakai dalam sektor gig selain berfungsi sebagai platform dialog, rundingan dan nasihat dasar berhubung isu-isu yang timbul dalam ekosistem ekonomi gig,” menurut kenyataan itu.

KESUMA memaklumkan, Majlis Perundingan Gig akan dipengerusikan oleh kementerian itu sebagai peneraju pembangunan dasar serta pelaksanaan Akta 872.

Bagi memastikan penyelarasan peranan antara Majlis Perundingan Gig dan SEGiM serta mengelakkan pertindihan fungsi, kementerian itu turut mengemukakan pencalonan wakil pegawai awam melalui Pejabat Timbalan Perdana Menteri untuk menganggotai majlis tersebut.

Menurut kenyataan itu, Akta 872 turut memperkukuh perlindungan keselamatan sosial pekerja gig apabila penyedia platform diwajibkan memastikan pendaftaran pekerja gig di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 [Akta 789].

Penyedia platform juga perlu membuat potongan daripada pendapatan pekerja gig bagi tujuan caruman kepada skim keselamatan sosial melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial.

Pada masa sama, garis panduan pelaksanaan sedang disediakan kepada penyedia platform bagi memastikan pematuhan terhadap peruntukan Akta 872 dapat dilaksanakan secara teratur dan konsisten.

KESUMA memaklumkan pihaknya akan terus bekerjasama rapat dengan SEGiM serta semua pemegang taruh termasuk pemain industri, wakil pekerja gig dan agensi kerajaan bagi memastikan pelaksanaan Akta 872 berjalan lancar serta memberi manfaat kepada keseluruhan ekosistem ekonomi gig negara.

-- BERNAMA

Must Watch Video