KUCHING: Hasil penulisan keunikan dan keindahan bahasa serta etnik di Sarawak melayakkan Alyssa Yap Xin Yi terpilih sebagai salah seorang pelajar Universiti Harvard, di Amerika Syarikat.

Alyssa, 20, berasal daripada Kuching itu mengagumi penggunaan bahasa di kalangan rakyat Sarawak yang berbilang bangsa sekaligus menggambarkan perpaduan antara mereka.

Jelasnya, tidak hanya bergantung kepada keputusan peperiksaan semata-mata, dia perlu menulis beberapa esei untuk pihak universiti mengenali pemohon dengan lebih holistik selain dinilai melalui temu bual secara maya. 

“Semasa ditemu bual oleh pihak Universiti Harvard, saya menceritakan serba sedikit latar belakang saya di Sarawak yang mana kita ada bahasa Sarawak, Hokkien, Hakka, Melayu dan sebagainya dan ini penting kerana berkaitan dengan esei yang saya tulis mengenai linguistik di negeri ini.

“Saya tertarik dengan penggunaan pelbagai bahasa di negeri ini dan ia antara faktor mengapa saya memilih bidang neurosains dan linguistik, saya ingin tahu bagaimana kanak-kanak berupaya memahami gaya bahasa serta mempelajari bahasa yang pelbagai secara automatik,” katanya ketika ditemu bual Astro Awani melalui aplikasi Zoom pada Khamis.

Alumni pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Green Road itu berkata, pihak universiti juga menilai prestasinya dalam kokurikulum.

Pic 1: Alyssa (kedua kiri) merakamkan gambar kenang-kenangan bersama pasukan debat ACJC sebagai pasukan separuh akhir Piala Thoburn 2020

Presiden Debat Anglo-Chinese Junior College (ACJC) dan Komuniti Pidato itu mendedahkan penglibatan dalam aktiviti itu meningkatkan kemahirannya dalam berucap dengan perspektif lebih bersifat global.

“Aktiviti kokurikulum membentuk kita sebagai seorang individu yang hebat, berwawasan serta mempunyai perpektif pemikiran bersifat global.

“Semua kemahiran ini sangat penting untuk membantu saya menghadapi temu bual atau menjadi sumber ilham dalam penulisan, bukannya semata-mata mendapatkan nilai ‘A’ dalam pelajaran,” katanya.

Selepas menamatkan tingkatan lima, Alyssa menyambung pengajian A-Level di ACJC selama dua tahun di bawah tajaan Pra-Universiti ASEAN sebelum membuat permohonan ke Universiti Harvard pada pertengahan Disember 2022.

Mewakili anak muda di Sarawak, Alyssa berpesan agar apar belia sentiasa berani mencuba semua peluang yang ada di luar sana tanpa perlu takut dan bersikap proaktif mencari inisiatif yang telah disediakan.

“Saya percaya ramai anak Sarawak yang berbakat di luar sana tetapi mereka masih takut untuk mencuba, jadi kalau mereka ada impian, mereka mesti mencuba sejauh mana mereka boleh pergi, lebih baik ada satu peratus peluang daripada kosong.

 Alyssa menerima sijil pengiktirafan untuk ‘Outstanding Service Award’ dalam sumbangannya dalam aktiviti kokurikulum (Debat dan Persatuan Kebudayaan Melayu) daripada guru kelasnya Benjamin Lim di ACJC Singapura.

“Mungkin ada yang tidak mempunyai akses kepada maklumat mengenai inisiatif-inisiatif berkenaan tetapi terdapat pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang sedia membantu dalam merapatkan jurang pendidikan di Sarawak dan masyarakat umum amnya,” katanya.

Terdahulu, Alyssa antara enam pelajar Malaysia yang berjaya melanjutkan pelajaran ke Universiti Harvard bagi sesi pengajian tahun 2022 yang dijangka bermula pada suku keempat tahun ini.

Bertolak ke Amerika Syarikat pada Ogos depan, Alyssa akan ditemani lima lagi pelajar Malaysia antaranya Chooi Je Qin dari Johor, Herman Leong Xin Yang dan Ishant Shah dari Pulau Pinang, Carisma Michaela Wong dari Sabah serta Lee Ee Jenn dari Kuala Lumpur.

Menuju Harvard | Keunikan bahasa dan Etnik Sarawak inspirasi Alyssa