KUALA LUMPUR: Penumpuan angin yang boleh menyebabkan peningkatan kelembapan, dijangka berlaku di pantai timur dan utara Semenanjung sehingga esok, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini.

Berdasarkan ramalan cuaca dikeluarkan agensi itu pada 1 tengah hari tadi, ramalan berdasarkan analisis model cuaca mendapati keadaan itu berpotensi membawa hujan berterusan di kawasan terbabit.

Pada masa sama, MetMalaysia memaklumkan Amaran Hujan Berterusan pada tahap buruk dan waspada yang melibatkan negeri Kelantan, Terengganu, Pahang, Kedah dan Perak, telah dikeluarkan sehingga 3 Dis.

Sementara itu, di negeri-negeri lain, agensi itu memaklumkan ribut petir serta hujan lebat dan angin kencang berpotensi berlaku pada sebelah petang hingga malam.

Orang awam dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan semua media sosial rasmi MetMalaysia, serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih.

-- BERNAMA