GOMBAK: Seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Lebuh Utama Sri Gombak menghala ke Pinggiran Batu Caves, di sini, pada Isnin.

Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak, Superintenden Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, hasil siasatan awal mendapati seorang lelaki berusia 48 tahun menunggang motosikal jenis Honda Wave telah melanggar belakang sebuah van yang sedang berhenti di lorong kiri, pada jam 12.44 tengah hari.

"Akibat kemalangan tersebut penunggang motosikal telah tercampak ke atas jalan dan dilanggar oleh sebuah lori," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Noor Ariffin berkata, pemandu dua kenderaan itu terus beredar dari lokasi kemalangan.

"Penunggang motosikal itu telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, mangsa telah dibawa ke Forensik Hospital Selayang untuk dibedah siasat," katanya.

Beliau berkata, polis sedang berusaha untuk mengesan kenderaan yang terlibat, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kemalangan ini diminta tampil membantu siasatan dan boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd Shaifuddin Mohd Nor di talian 017-6645812 atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di talian 03-61262222," katanya. - Sinar Harian