TAWAU: Seorang warga emas maut selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh dan digilis pacuan empat roda, di Jalan Kuhara, di sini pagi Selasa.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kemalangan itu pada jam 11.59 pagi.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.50 pagi itu, mangsa lelaki yang berumur 65 tahun meninggal dunia di lokasi kerana kecederaan parah.

“Menurut Jasmin, kejadian berlaku apabila seorang wanita yang memandu pacuan empat roda menuju ke Jalan Chong Thien Vun, ketika menghampiri susur keluar menghala ke Jalan Melati, motosikal yang ditunggang mangsa secara tiba-tiba keluar dari arah sebelah kanan.

“Wanita terbabit cuba mengelak namun jarak yang terlalu dekat menyebabkan dia merempuh motosikal mangsa sehingga terseret sejauh lebih kurang 3 meter,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.

Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Besar Tawau dengan ambulans untuk proses bedah siasat.

“Hasil siasatan awal mendapati mangsa adalah warga asing dan tidak memiliki lesen memandu,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.