PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini menangguhkan keputusannya ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian terhadap rayuan dua badan bukan kerajaan (NGO) yang permohonan mereka untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman bagi mencabar tindakan Kerajaan Negeri Selangor untuk menyahwartakan Bukit Cherakah sebagai sebuah hutan simpan yang ditolak Mahkamah Tinggi.

Hakim Datuk Azizah Nawawi yang mengetuai panel tiga hakim termasuk beliau, Datuk Azimah Omar dan Datuk Wong Kian Kheong berkata mahkamah menangguhkan keputusan itu kepada satu tarikh lain kerana perkara berkenaan menyentuh kepentingan awam.

Beliau berkata mahkamah akan memaklumkan pasukan perundangan yang mewakili Shah Alam Community Forest Society (SACF) dan Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka), Penolong Penasihat Undang-undang negeri Khairul Nizam Abu Bakar yang mewakili Kerajaan Negeri Selangor, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor, Pengarah Jabatan Perhutanan negeri dan Pejabat Daerah dan Tanah Petaling juga peguam yang mewakili dua syarikat dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor.

Permohonan Peka dan SACF untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman itu ditolak oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 17 Nov tahun lepas.

Peka dan SACF memohon kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Kerajaan Negeri Selangor, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Pengarah Jabatan Perhutanan negeri dan Pejabat Daerah dan Tanah Petaling pada 5 Mei tahun lepas untuk menyahwartakan 406.22 hektar hutan simpan Bukit Cherakah.

Kedua-dua NGO itu mendakwa adalah menyalahi undang-undang untuk Kerajaan Negeri Selangor mengundurkan tarikh sesuatu warta, memaklumkan satu keputusan telah dibuat ke atas penyahwartaan itu pada 20 Nov 2020.

Mereka menamakan Kerajaan Negeri Selangor, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor, Pengarah Jabatan Perhutanan Selangor, Pejabat Daerah dan Tanah Petaling, YCH Development Sdn Bhd, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor and Restu Mantap Sdn Bhd selaku reponden dalam semakan kehakiman itu.

Terdahulu, peguam yang mewakili kedua-dua NGO itu, Rajesh Nagarajan memohon kepada mahkamah supaya mereka diberikan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman itu kerana terdapat isu yang perlu dibicarakan.

Beliau berkata Akta Perhutanan Negara 1984 tidak memperuntukkan pihak berkuasa negeri, kuasa untuk meninjau balik penyahwartaan hutan simpan, sambil menambah keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri itu adalah menyalahi undang-undang.

Sementara itu Khairul Nizam yang mewakili Kerajaan Negeri Selangor, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor, Pengarah Jabatan Perhutanan negeri dan Pejabat Daerah dan Tanah Petaling, berkata Hakim Mahkamah Tinggi membuat keputusan yang betul menolak permohonan kebenaran itu.

Beliau berkata tanah itu merupakan tanah negeri dan terpulang kepada negeri untuk melepaskannya dengan cara yang difikirkan sesuai. Beliau berkata beban pembuktian terletak pada NGO untuk menunjukkan penyahwartaan itu telah menjejaskan hak mereka untuk melindungi hutan rimba dan memulihara hutan komuniti Shah Alam tetapi tiada bukti mengenainya.

Turut mewakili NGO itu ialah peguam Sachpreetraj Singh Sohanpal, Ng Ka Choon mewakili YCH Development, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor diwakili Ganapathi Ramasamy sementara John Wong Yok Hon mewakili Restu Mantap.

-- BERNAMA