Kes penularan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Sabah semakin membimbangkan selepas 25 buah Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) dan tadika termasuk tujuh buah sekolah di daerah Beaufort, Sandakan dan Tawau diarahkan tutup.

Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad berkata sebanyak 2,200 kes dengan purata 73 kes dilaporkan setiap minggu direkodkan dari awal tahun sehingga 30 Julai.

“Setakat ini, kes yang membabitkan virus HFMD mencatat sebanyak 40,203 kes dan daripada jumlah itu, sebanyak 2,200 kes adalah di negeri Sabah.

“Sehubungan itu, sembilan buah sekolah meliputi tujuh di Sabah dan masing-masing satu di Pulau Pinang serta Pahang diarahkan untuk tutup dalam tempoh 10 hari bagi mengurangkan risiko jangkitan virus tersebut,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan kerja di Hospital Queen Elizabeth 1 (HQE 1) di sini, hari ini.

Sementara itu, Dr Dzulkefly turut menyatakan bahawa pihak KKM mengambil pendekatan secara holistik tangani penularan virus HFMD secara 'gatekeeping'.

Menurutnya, pihak KKM meminta agar pengusaha-pengusaha premis terutamanya tadika dan taska untuk mengawal penularan wabak ini dengan mengehadkan aktiviti-aktiviti di sekolah mahupun di tempat awam.

"Kita telah membuat pendirian bahawa kita sebutkan sebagai 'gatekeeping', meminta khususnya pengusaha-pengusaha premis di pra sekolah menanangani dan memastikan kebersihan pelajar.

"Untuk mengelakkan kanak-kanak mudah terdedah kepada persekitaran terutamanya ditempat awam hadkan aktiviti mereka yang akan menyebabkan penularan wabak ini mudah berlaku.

"Kalau kita bersepakat melakukan semua ini saya yakin penurunan statistik kes HFMD di Malaysia akan menurun,"katanya.