KUALA TERENGGANU: Penyaluran bekalan elektrik 24 jam bakal menjadi pelengkap kepada kemudahan infrastruktur sekali gus melonjakkan nama Pulau Perhentian dalam kalangan pelancong.

Pengerusi Persatuan Pengusaha Resort dan Pelancongan Pulau Perhentian, Abdul Aziz Che Abdullah berkata, ketika ini ramai pengusaha penginapan masih menggunakan generator yang menjejaskan keselesaan serta mengakibatkan pencemaran.

Menurut Abdul Aziz, bekalan elektrik 24 jam di pulau berkenaan berupaya memberi imej positif kepada industri pelancongan sekali gus menarik lebih ramai pengunjung.

"Kita perlukan bekalan elektrik sebab kita bukan nak buka pulau ini lapan bulan setahun, tapi 12 bulan setahun.

"Sebab dalam monsun, kita akan adakan aktiviti monsun seperti pancing.

"Dulu ketika monsun, orang tak nak, orang tak suka. Tapi sekarang berbeza.

"Ramai orang sekarang memang nak datang ke pulau, nak tengok keadaan yang belum pernah mereka rasai," kata Abdul Aziz.

Setakat ini, bekalan elektrik selama 24 jam hanya disediakan untuk kegunaan lebih 2,000 penduduk kampung di Pulau Perhentian Kecil.

Sementara itu, pengerusi jawatankuasa pelancongan, kebudayaan dan teknologi digital negeri, Ariffin Deraman ketika dihubungi berkata kira kira RM166 juta diperlukan termasuk pembinaan kabel dasar laut untuk menyediakan bekalan elektrik 24 jam kepada resort dan chalet di Pulau Perhentian.

Menurutnya, kerajaan negeri telah memohon peruntukan daripada kerajaan pusat melalui Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan berharap ia dapat diluluskan dan dilaksanakan secepat mungkin.