KUALA LUMPUR: Penyata pemberian khas interim Sabah sebanyak RM300 juta dijangka dibentang di Parlimen pada sidang kali ini seperti yang dilakukan tahun lepas, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali.

Beliau berkata Kementerian Kewangan kini dalam proses melakukan prosedur yang sepatutnya.

"Sekiranya disebut tentang semakan pemberian khas, ia mestilah terkait dengan perkara 112D Perlembagaan Persekutuan yang syaratnya adalah mesti diwartakan melalui Perintah Undang-undang.

"Kalau tidak melibatkan pewartaan itu bukanlah kadar semakan khas dan pastinya saya yakin Kementerian Kewangan akan melakukan prosedur," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2024 bagi kementerian itu di Dewan Rakyat, hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024 mengumumkan kadar pemberian khas secara interim ditingkatkan pada kadar bermula RM300 juta dan berkuat kuasa serta-merta bagi 2023.

Sementara itu, Armizan berkata setakat ini belum ada persetujuan muktamad antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan negeri Sabah dan Sarawak berhubung formula semakan kadar pemberian khas setakat ini.

Beliau berkata kerajaan Sabah tetap dengan pendirian kadar perlu ditetapkan berdasarkan hak perlembagaan di bawah Perkara 112C (1) (a) dan Perkara 2(1) Bahagian IV, Jadual Kesepuluh, Perlembagaan Persekutuan iaitu kadar 2/5 atau 40 peratus daripada hasil yang diperoleh oleh Persekutuan di Sabah.

"Pada masa sama, antara asas pendirian Kerajaan Persekutuan adalah semakan kadar perlu melihat peruntukan Perlembagaan Persekutuan secara keseluruhan termasuk Perkara 112C(1) yang menyatakan secara jelas kaitan antara Perkara 112C dan 112D.

Dalam perkembangan lain, Armizan berkata Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah serta Sarawak juga belum mencapai sebarang persetujuan muktamad berhubung kedudukan petroleum iaitu royalti minyak dan bayaran tunai petroleum, mineral minyak dan medan minyak, Akta Laut Wilayah (Akta 750) dan hak negeri ke atas pelantar benua.

Bagaimanapun, beliau berkata mulai 2020, kesemua pihak telah merintis usaha baharu untuk membolehkan Sabah dan Sarawak mempunyai 'greater say, greater participation dan greater revenue sharing' dalam penerokaan khazanah petroleum melalui perjanjian antara Kerajaan Negeri dan Petroliam Nasional Berhad (Petronas).

Menurutnya inisiatif penyelesaian secara komersial itu telah memberi ruang kepada Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak untuk terlibat sama dalam pembangunan industri minyak dan gas bersama Petronas di kedua-dua negeri berkenaan.

-- BERNAMA