Polis Sabah percaya penyebaran video 'mangsa culik' meminta bantuan yang tular baru-baru ini merupakan antara strategi kumpulan penculik untuk mendesak pembayaran wang tebusan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, pihaknya telah mendapatkan kesahihan mengenai video berkenaan daripada rakan sejawat mereka di Filipina dan proses mengenal pasti masih giat dijalankan.

"Video tersebut dipercayai strategi kumpulan penculik Abu Sayyaf untuk mendesak majikan tebusan memenuhi tuntutan pembayaran wang tebusan sebanyak empat juta Peso (RM314,000).

"Difahamkan, video itu membabitkan mangsa culik insiden pada September lalu melibatkan penama Samsul Sagunin," katanya dalam sidang media selepas menghadiri perhimpunan bulanan polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di sini, hari ini.

Tambah Omar, setakat ini pihaknya masih menjalankan siasatan dengan kerjasama pihak berkuasa Filipina untuk mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab dalam insiden berkenaan.

Sementara itu, beliau turut berkata, kadar indeks jenayah di Sabah menurun kepada 6,059 kes pada tahun lepas berbanding 6,150 kes pada tahun 2017.

"Ia merupakan hasil kerja keras pegawai dan anggota di seluruh Sabah dan kerjasama kuat daripada orang awam. Kami akan terus berusaha meningkatkan lagi prestasi di masa akan datang," ujarnya.