KEMAMAN: Seorang penyelam dijumpai lemas ketika melakukan kerja memotong besi kapal karam di dasar laut dekat Pantai Geliga, di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, mangsa, Muhammad Aiman Zambri, 25, ditemukan oleh rakannya, Sukril Aman Rabilalim A Rani, 40, terapung di pesisir pantai sekitar jam 4.45 petang.

Menurutnya, sebelum kejadian, dua pekerja terbabit telah turun ke dasar laut sekitar jam 4 petang untuk membuat tanda pada besi kapal karam yang ingin dipotong.

"Ketika mereka mahu naik permukaan air mereka dikatakan telah terbelit dengan hos oksigen, tali kecemasan dan tali penanda besi.

"Salah seorang mangsa dikatakan dapat melepaskan diri dan naik ke permukaan air setelah berjaya membuka pemberat pada badannya sementara seorang lagi (Sukril Aman) masih cuba melepaskan diri daripada lilitan hos oksigen dan dapat melepaskan diri kira-kira lima minit kemudian," katanya di sini, hari ini.

Difahamkan, sebaik naik ke daratan Sukril Aman menemukan mangsa terapung di pesisir pantai sebelum membawanya ke daratan dan disahkan meninggal dunia.

Hanyan berkata, mayat mangsa telah dibawa ke Bilik Forensik Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut.

"Kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut namun kita masih menyiasat sama ada wujud unsur kecuaian dalam kejadian itu," ujarnya. - Sinar Harian